PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi bayangan pembentangan Bajet 2023 tetap diteruskan di Dewan Rakyat, petang ini.
Menurut satu perkongsian di Facebook malam tadi, beliau berkata, debaran semakin memuncak berikutan kurang daripada 24 jam sebelum pembentangan Bajet 2023.
“Secara ringkasnya, Bajet 2023 yang dirangka oleh pasukan Kementerian Kewangan akan berfokus kepada Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan, Kemakmuran Ekonomi dan Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan.
“Ya Allah Ya Tuhanku, permudahkan segala urusan pasukan Kementerian Kewangan dan janganlah engkau persulitkan,” kongsinya.
Terdahulu, Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia yang tertunggu-tunggu sama ada Parlimen ke-14 akan dibubarkan atau sebaliknya.
Ini susulan Perdana Menteri, telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam yang dikaitkan dengan kemungkinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan turut mencadangkan pembubaran Parlimen.
Malah, pertemuan Perdana Menteri dan Seri Paduka itu menimbulkan spekulasi sama ada pembentangan Bajet akan diteruskan atau sebaliknya bagi memberikan laluan kepada pembubaran Parlimen. – UTUSAN