Tambahan 35 peratus kerusi Parlimen masih perlu dilakukan

Tambahan 35 peratus kerusi Parlimen masih perlu dilakukan

ISNARAISSAH MUNIRAH MAJILIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Walaupun tambahan 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak tidak dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun, pelaksanaannya masih perlu dilakukan.

Itu pandangan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis mengenai keperluan kerusi tambahan kepada kedua-dua negeri tersebut.

Beliau berkata, diharap tambahan kerusi itu boleh dilaksanakan pada PRU-16 bagi memastikan proses pembangunan di Sabah dan Sarawak dapat dipercepatkan.

Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan) itu berkata, lebih banyak wakil rakyat daripada Sabah di Parlimen maka, lebih banyak peruntukan bagi pembangunan kawasan akan diterima.

“Ia membolehkan kita fokus kepada kawasan yang sudah lama ketinggalan dari segi pembangunan.

“Saya amat menantikan agar hasrat meningkatkan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak ini dilaksanakan.

“Di sinilah kita mahu melihat keseriusan kerajaan Persekutuan agar jangan sekadar mengangkat status wilayah Sabah dan Sarawak tetapi, laksanakan juga hak-hak yang sepatutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Munirah, isu berkaitan tambahan kerusi itu sudah dibangkitkan berkali-kali di Parlimen jadi, beliau amat kecewa apabila ada pihak menyatakan bahawa tidak wajar kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak ditambah.

“Ini satu komen yang amat mengecewakan, bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada ahli-ahli Parlimen serta rakyat Sabah.

“Peruntukan kerusi tambahan itu seiring dengan usaha mengembalikan status wilayah kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pada masa ini, Parlimen Sabah mempunyai 25 kerusi dan Sarawak sebanyak 31 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen seluruh negara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN