KOTA BHARU – Seorang lelaki ditahan reman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tembak seorang anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) di Salor di sini kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia 35 tahun direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod lampau.
“Kita masih menyiasat motif kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan membunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, keadaan mangsa ketika ini dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan seorang anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia yang berpangkat koperal cedera di dada kanannya selepas dipercayai ditembak semasa sedang menunggang motosikal ke sebuah kedai nasi lemak di tepi Jalan Aur Duri, Kampung Seberang dekat Salor di sini malam kelmarin.
Mangsa, Kamarul Fadzreen Kamaruzaman, 30, sempat menghubungi rakan sekerjanya untuk meminta bantuan sebelum memaklumkan kepada pemilik kedai nasi lemak supaya menghubungi talian kecemasan.
Siasatan mendapati, mangsa dipercayai ditembak kira-kira 10.30 malam dan insiden itu menyebabkan lelaki itu cedera pada bahagian paru-paru kanan. – UTUSAN










