KANGAR: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis memaklumkan bekalan ayam dan telur menjelang perayaan Deepavali minggu depan mencukupi di negeri itu.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Mohamad Amir Abdullah berkata, stok keperluan asas itu masih ada walaupun dikesan berlaku pengurangan kebelakangan ini.
Katanya, pengurangan bekalan tersebut sebelum ini disebabkan penutupan operasi beberapa pemain kecil industri penternakan ayam dan telur yang memberi kesan kepada pasaran.
“Baru-baru ini, ada lawatan ke ladang penternakan ayam di Melaka serta Johor dan mendapati beberapa penternak sudah tidak beroperasi.
“Kita dapati penutupan operasi pemain-pemain industri penternakan ayam dan pengeluaran telur ini memberi kesan kepada rantaian pasaran di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di pasar raya Giant, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, pengurangan bekalan telur ayam kepada peniaga runcit di sekitar negeri ini menyebabkan pengguna sukar mendapatkan barangan berkenaan kebelakangan ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya dan kedai runcit sekitar Kangar mendapati rak yang menempatkan telur ayam terdiri daripada pelbagai gred kelihatan kosong susulan bekalannya dikatakan berkurangan.
Menurut seorang pembekal telur yang enggan mendedahkan nama berkata, masalah kekurangan bekalan telur semakin ketara sejak minggu lalu apabila pengedar tidak menghantar bekalan mengikut ketetapan seperti biasa.
Sementara itu, mengulas mengenai isu caj perkhidmatan kepada pembeli, Mohamad Amir berkata, ia adalah pendekatan yang diambil penjual disebabkan oleh kos-kos dikenakan pemborong dan pengeluar.
“Di pihak pejabat KPDNHEP negeri, kami melakukan pemeriksaan ke atas peruncit, pemborong dari dalam dan luar Perlis dan sekiranya ada yang mengenakan caj yang tidak munasabah, mereka akan diberikan notis.
“Notis tersebut akan meminta pemborong dan pengeluar menghantar dokumen untuk dianalisa dan sekiranya terdapat unsur pencatutan, tindakan akan diambil KPDNHEP,” katanya.
Mengenai SHMMP, beliau memberitahu, sebanyak lapan barangan disenaraikan sebagai barangan kawalan sepanjang 20 hingga 26 Oktober ini.
“Pelaksanaan SHMMP berkuatkuasa empat hari sebelum perayaan dan dua hari selepas Deepavali.
“Pemeriksaan semalam ke atas 136 peruncit dan lima premis borong mendapati peniaga mematuhi harga maksimum ditetapkan menggunakan penandaan harga merah jambu ke atas barangan tersenarai,” jelasnya.
Beliau menegaskan, mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. – UTUSAN