PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan bekas pengarahnya berhubung isu rasuah membabitkan beberapa bekas pemimpin sebelum ini.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan berkata, dakwaan tersebut dilihat serius dan banyak menimbulkan persoalan di sebalik pendedahan yang dibuat baru-baru ini.
Malah katanya, bekas pengarah tersebut sepatutnya dikenakan tindakan serius kerana menyembunyikan maklumat salah laku berkaitan pemimpin.
“Mengapa beliau tidak menyiasat sewaktu dalam perkhidmatan lagi. Kalau dia ada maklumat tapi tidak mengambil tindakan, itu satu kesalahan. Sepatutnya ambil tindakan. Ini tidak, selepas pencen baru dedahkan.
“Justeru, saya menggesa SPRM siasat dakwaan yang dibuat olehnya sama ada betul atau tidak. Itu yang penting. Dalam undang-undang SPRM, seseorang yang ada maklumat dan tidak mengambil tindakan sama seperti sorokkan kes jenayah. Ini sesuatu yang serius,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sebelum itu, tular satu video seorang bekas pengarah SPRM mendakwa beberapa pemimpin mengamalkan rasuah dalam pentadbiran mereka.
Video yang dikatakan dirakam dalam satu ceramah di Parlimen Sik turut menyebut beberapa nama. – UTUSAN










