KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan mendapatkan penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung peningkatan mendadak jumlah pengundi di Sabah.
Peningkatan jumlah pengundi secara mendadak itu menimbulkan keraguan sesetengah pihak maka, penjelasan daripada SPR amat diperlukan.
Beliau berkata, dalam masa terdekat, beliau akan mendapatkan maklumat dan taklimat SPR mengenai perkara itu kerana sesetengah pihak berasa ragu susulan pertambahan jumlah pengundi itu terlalu tinggi.
“Kita juga mahu mengetahui bilangan sebenar kerana sesetengah pihak merasa ragu kerana terlampau mendadak (naik).
“Selepas kita mendapat taklimat dan penjelasan daripada SPR nanti baru kita boleh komen,” katanya ketika mengulas tentang peningkatan mendadak jumlah pengundi di Sabah.
Pada PRU15, jumlah pengundi yang didaftarkan di Sabah seramai 1.638 juta berbanding 1.088 juta pada PRU14.
Kawasan Parlimen Sepanggar mencatatkan pengundi paling ramai dengan 107, 463 orang dan diikuti dengan Parlimen Lahad Datu iaitu seramai 99,741 orang.
Hajiji berkata, pada masa ini pendaftaran pengundi bagi mereka yang berusia 18 tahun dilakukan secara automatik. Berkemungkinan ada pengundi yang layak mengundi sebelum ini belum mendaftar sebagai pengundi.
Sebelum ini, hanya mereka yang berusia 21 tahun ke atas sahaja boleh mendaftar sebagai pengundi jadi, mungkin ada antara mereka ini didaftarkan secara automatik berdasarkan sistem yang ada sekarang.
Namun, sebelum membuat sebarang andaian, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada SPR terlebih dahulu. –UTUSAN