Serangan angin ahmar ubah kehidupan guru

Serangan angin ahmar ubah kehidupan guru

PENGERUSI Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Aminudin Adam (tiga dari kiri) bersama Wan Munadi Wan Mamat (dua kiri) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB hadir menyampaikan sumbangan khas ‘Ziarah Kasih 2022’ kepada pesakit kencing manis, Jarah@Fatima Dullah di rumahnya Kampung Pompod, Kota Belud, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Rutin harian mengajar murid di sekolah kini hanya tinggal kenangan buat Shoibih Ransab, 56

Serangan angin ahmar yang berlaku pada Disember tahun lalu mengubah seluruh hidupnya apabila segala pergerakan terbatas dan menyukarkan Shoibih meneruskan khidmatnya sebagai warga pendidik.

Guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Taburan, Kota Belud ini diberikan cuti rehat sejak tahun lalu. Jika diberi kesembuhan, guru yang telah mengajar selama lebih 20 tahun itu ingin meneruskan khidmat mendidik anak-anak tempatan.

Bapa kepada lapan orang anak ini berasa agak terkilan kerana hasrat mendidik anak bangsa sehingga hari bersara wajib tidak kesampaian.

“Selepas diserang strok keadaan kesihatan saya tidak begitu baik dan apabila saya terjatuh dan mengalami luka di bahagian dahi, itu menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.

“Kini, pergerakan saya sangat terbatas kerana kaki saya tidak begitu kuat untuk berdiri terlalu lama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, penyampaian sumbangan menerusi Program Ziarah Kasih di Sabah itu memberi manfaat kepada 12 orang guru yang menghidap penyakit kronik dan ada antaranya tidak boleh berjalan langsung.

Katanya, program kali ini julung-julung kali diadakan di Sabah dan beliau berharap lebih banyak guru di negeri ini akan mendapat manfaat daripada YGMB apabila mereka menjadi ahli dalam yayasan tersebut.

Pada masa ini, daripada 130,000 ahli YGMB, kira-kira 10,000 ahli adalah di Sabah dan jumlah itu masih terlalu kecil. Ia kerana banyak tempat yang belum dijelajah untuk memberi penerangan mengenai manfaat diperoleh jika mencarum di bawah YGMB.

“Untuk sertai YGMB, kita mahu guru sendiri mendengar segala manfaat yang akan diperoleh apabila mereka menjadi ahli. Dengan caruman bulanan serendah RM10 hingga RM35, guru-guru boleh mendapat manfaat sehingga RM50,000 apabila menghidap salah satu daripada 36 jenis penyakit kronik.

“Manfaat yang diberikan akan membantu meringankan beban kewangan apabila ahli-ahli YGMB menghidap penyakit kronik mahupun hilang upaya kekal,” katanya.

Antara penerima sumbangan kali ini, ada yang menderita 10 tahun akibat serangan angin ahmar manakala, ada juga yang terbatas pergerakan akibat cacat penglihatan serta ada yang bergerak menggunakan kerusi roda.

Kebanyakan mereka masih dalam perkhidmatan jadi, sokongan serta pemahaman pengurusan sekolah amat penting bagi memudahkan tugasan mereka mengajar bagi penerima yang masih boleh berkomunikasi dengan baik.

Justeru, dalam kesibukan guru mengajar di sekolah, mereka perlu mengambil berat soal penjagaan kesihatan agar dapat mengelak daripada terkena jangkitan penyakit kronik, terutama golongan guru muda.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya