Seorang parah, tiga cedera kereta rempuh gerai buah - Utusan Malaysia

Seorang parah, tiga cedera kereta rempuh gerai buah

KEADAAN kereta yang terbabas dan merempuh gerai buah-buahan tepi jalan di Kilometer 1 Ayer Tawar-Sitiawan, di Ayer Tawar semalam. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Empat cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan dengan dua daripada kenderaan itu terbabas dan merempuh dua gerai buah-buahan di Ayer Tawar, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang di Simpang Taman Seri Sentosa, Kilometer 1 Jalan Ayer Tawar-Sitiawan itu, seorang penjaja buah-buahan berusia 43 tahun cedera parah di tangan kanan, manakala dua pemandu kereta berusia 37 dan 54 tahun serta seorang pejalan kaki, 55, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kesemua mangsa rakyat tempatan dan menerima rawatan di Hospital Seri Manjung dan pihaknya mengesan kes itu tular dalam media sosial petang semalam.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila pemandu kereta jenis Proton Persona dari Taman Sentosa hendak ke Taman Dinding cuba mengubah haluan dari kiri ke lorong kanan dengan memotong kereta jenis Toyota Vios yang berada di hadapannya.

“Ketika cuba memotong itu, Proton Persona bergesel dengan kereta jenis Nissan X-Trail yang datang dari arah belakang di lorong kanan lantas melanggar pula Honda CRV yang sedang keluar dari simpang kiri Taman Seri Sentosa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, akibat itu, pemandu Nissan X-Trail gagal mengawal kenderaan lalu melanggar Toyota Vios.

Jelasnya, kedua-dua kenderaan itu kemudian berpusing dan melanggar dua gerai buah-buahan yang berada di bahu kiri jalan dan turut melanggar seorang penjaja dan seorang pejalan kaki.

Beliau memaklumkan, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10,000 serta boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun.

“Polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan pihak polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.