Seni kraftangan Melayu, seimbang antara estetika dan etika - Raja Muda Perlis

Seni kraftangan Melayu perlu seimbang antara estetika dan etika – Raja Muda Perlis

raja muda perlis
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencuba bakat melukis batik ketika melawat pameran seni kraftangan sempena program ‘Penang Exchange 2022 anjuran Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC).yang diadakan di Think City George Town. Turut berangkat Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seni kraftangan Melayu perlu sentiasa mementingkan keseimbangan antara nilai estetika dan etika dalam setiap hasilan pertukangannya, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah’.

Titah baginda, kesenian di alam Melayu amat  mementingkan antara estetika dan etika, iaitu antara keindahan dan kebaikan di mana sesuatu seni itu tidak hanya menumpukan kepada keindahan semata-mata, sebaliknya sarat dengan kehalusan dan ketinggian falsafah Islam.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat melawat pameran seni kraftangan sempena program ‘Penang Exchange 2022 anjuran Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) yang diadakan di Think City Penang Gat Lebuh China di sini.

Keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi sama anakanda-anakanda, Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra disambut oleh Presiden MCC, Nik Faiz Nik M. Amin dan ahli majlisnya, Azharudin Ramli.

Baginda seisi keluarga meluangkan masa lebih dua jam bagi melawat sebahagian besar daripada 66 buah gerai pameran dan jualan seni kraftangan daripada seluruh Malaysia yang mengambil bahagian pada kali ini.

Penang Exchange 2022 adalah program selama tiga hari yang berlangsung bermula 30 September sehingga 2 Oktober yang turut melibatkan pelbagai program menarik seperti kraftangan, pameran dan persembahan kesenian bermatlamatkan untuk promosi artisan tempatan melalui platfom pelancongan dan kebudayaan yang dilaksanakan di Think City Penang Gat Lebuh China dan juga Dewan Budaya USM serta Penang Peranakan Mansion, Georgetown.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, baginda mengambil inspirasi daripada kunjungan tersebut dan berharap agar lebih banyak hasil kerja artisan dari Perlis berjaya diketengahkan di peringkat kebangsaan malahan antarabangsa selepas ini.

Baginda turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor mengadakan perbincangan awal dengan beberapa pihak yang turut serta dalam pameran tersebut bagi melihat prospek menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) di masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya