PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor meminta pimpinan Pas negeri menyatakan pendirian berhubung kenyataan Datuk Seri Azmin Ali terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu program Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) minggu lalu.
Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, Khairul Izzat Nordin turut mempersoalkan sama ada Datuk Dr. Halim Tamuri dan Datuk Shafie Ngah bersetuju dengan kenyataan yang dilihat memperlekehkan Presiden parti mereka sendiri serta mengapa mereka memilih untuk berdiam diri.
“Di saat beberapa pimpinan Pas sudah bertindak menempelak Azmin Ali, mengapa pimpinan utama Pas Selangor tidak menyatakan pendirian sebenar mereka?
“Dalam politik, perbezaan pandangan boleh berlaku namun soal menghormati pemimpin tertinggi sendiri seharusnya tidak boleh berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khairul Izzat, sekiranya pimpinan Pas Selangor tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, mereka seharusnya menyatakan pendirian secara terbuka.
Katanya, sikap berdiam diri hanya akan menimbulkan persepsi bahawa Pas Selangor tunduk kepada keupayaan politik Bersatu dan gagal mempertahankan maruah kepimpinan parti sendiri.
“PKR Selangor percaya Pas Selangor merupakan peneraju sebenar barisan pembangkang di negeri itu.
“Sebarang usaha memperlekehkan kepimpinan Pas dan jenteranya adalah tindakan yang tidak wajar,” katanya. – UTUSAN










