fbpx

Segera PRU15, GTA bidas UMNO

IBRAHIM Ali (dua dari kiri) dan Sazmi Miah (kiri) bersama wakil-wakil parti komponen GTA pada Persidangan GTA Kelantan yang berlangsung di Kedai Mulong, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - FOTO/MUSTAQIM MOHAMED

KOTA BHARU: Gabungan Tanah Air (GTA) membidas tindakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berterusan mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini yang dilihat seolah-olah mempunyai agenda tersendiri.

Pengarah Pilihan Raya GTA, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan gesaan bertujuan memastikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa kepemimpinan parti tersebut yang sedang berdepan kes mahkamah layak bertanding pada PRU15.

“Apa niat UMNO mahu melaksanakan PRU15 pada tahun ini juga? Adakah untuk menggunakan jentera kerajaan demi kepentingan mereka dan memastikan mereka dapat untung jika orang ramai tidak dapat keluar mengundi?

“Adakah ini strategi UMNO atau adakah ia disebabkan kes mahkamah yang dihadapi presidennya serta beberapa kepemimpinan lain? Nampak sangat ada udang di sebalik batu,” katanya ketika ditemui pada Sidang GTA Kelantan; Selamatkan Melayu & Daulatkan Islam di Kedai Mulong, dekat sini, hari ini.

Ibrahim memberitahu, tiada beza sama ada PRU15 diadakan pada tahun ini atau pada Februari atau Mac tahun hadapan yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Beliau mendakwa, MT UMNO dilihat seolah-olah menganggap Malaysia kepunyaan mereka sehingga boleh berbuat sesuka hati dan menyeru rakyat agar tidak menyokong parti itu yang dianggap betul-betul tidak bertanggungjawab.

“Masih ada masa sehingga Mei tahun hadapan untuk Parlimen terbubar dengan sendirinya atau buat selepas musim banjir, sama ada pada Februari atau Mac tahun depan.

“Pas juga tidak bersetuju PRU15 diadakan pada musim Monsun Timur Laut dan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri. Bermakna pilihan raya terpaksa diadakan dua kali dan ini akan melipat gandakan perbelanjaan kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar jangan ada pihak cuba masuk campur dan mengganggu hak Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Memang Perdana Menteri boleh menasihatkan YDPA untuk membubarkan Parlimen dan mencadangkan tarikh PRU15 tetapi terdapat perkara-perkara YDPA boleh buat keputusan sendiri dan jangan cuba masuk campur hak baginda.

“YDPA mungkin akan panggil pelbagai pihak bagi meminta pandangan termasuk pakar kaji cuaca untuk mengetahui apa bakal berlaku pada penghujung Oktober dan November nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN