Saya tahu ramai kecewa, tapi kawal kemarahan - Santiago 

Saya tahu ramai kecewa, tapi kawal kemarahan – Santiago 

CHARLES SANTIAGO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago mengakui ramai yang kecewa selepas beliau digugurkan DAP daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Namun katanya, adalah penting untuk tetap mengawal kemarahan dalam memastikan Pakatan Harapan (PH) menang pada 19 November ini. 

“Kita semua berkongsi matlamat yang sama (iaitu) untuk melihat kerajaan yang adil. Kerajaan yang memerintah dengan penuh belas kasihan, integriti, akauntabiliti dan keterangkuman serta kerajaan yang komited untuk menghapuskan rasuah.

“Saya pasti pengganti saya berkongsi impian yang sama untuk negara kita ini dan sama seperti saya, dia juga memerlukan sokongan. Saya tahu ramai antara anda (pengundi Klang) kecewa kerana saya tidak diturunkan lagi tetapi saya tahu we are better than anger.

“Kita berada pada masa yang genting di mana setiap undi kita dikira. Oleh itu, saya dengan rendah hati memohon agar anda tetap mengundi kerajaan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.

DAP menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V. Ganabatirau sebagai calonnya untuk kerusi Parlimen Klang pada PRU-15 sekali gus menyaksikan Charles tidak mempertahan kerusi Parlimen itu yang disandangnya selama tiga penggal.

Terdahulu, Charles mengucapkan penghargaan kepada rakyat Parlimen Klang yang sudah menyokongnya selama ini, selain menyifatkan ia adalah tempoh 15 tahun yang luar biasa. 

“Komitmen terbesar saya kepada anda rakyat Klang, adalah untuk mewakili anda di Parlimen, untuk menjadi suara anda. Saya minta maaf jika saya gagal tetapi saya mahu kamu tahu bahawa saya sudah mencuba.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi Klang yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan politik saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN