‘Saya bimbang UMNO, Pas bertembung yang menang orang lain’ - Shahidan

‘Saya bimbang UMNO, Pas bertembung yang menang orang lain’ – Shahidan

SHAHIDAN Kassim (tengah) bergambar bersama Puteri UMNO selepas perasmian mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Arau di Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih ada ruang untuk diselamatkan.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, seandainya MN gagal mencapai kata sepakat di peringkat nasional, namun jangan ditutup ruang kerjasama antara dua parti terbesar Melayu Islam itu di peringkat negeri.

Katanya, pertembungan sesama sendiri UMNO dan Pas dalam pilihan raya hanya merugikan dan dibimbangi disebabkan situasi tersebut bakal memberi ruang kemenangan pihak lawan.

“Saya lihat masih ada ruang untuk dibicarakan (MN). Nak buat apa pun prinsip (dalam soal MN) kena lihat juga di peringkat negeri kerana ada keperluan kerjasama tersebut.

“Kalau kalau pertembungan berlaku antara UMNO dan Pas (PRU-15), saya bimbang yang menang orang lain. Jadi Kalau kita tutup pintu (kerjasama), kita yang akan rugi. 

“Perlu diingat menutup pintu ke arah perpaduan adalah merupakan satu kerugian,” kata Ketua UMNO Bahagian Arau itu ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Arau di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, Pas menolak kata dua UMNO sebaliknya meneruskan usaha penyatuan ummah membabitkan ketiga-tiga parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi PRU15.

Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur semalam.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, keputusan meneruskan usaha penyatuan membabitkan ketiga-tiga parti teras Melayu itu bagi menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15.

Sebelum ini, UMNO menetapkan tiga syarat untuk membolehkan mereka menjalinkan semula kerjasama politik dengan Pas menerusi MN bagi menghadapi PRU15

Ia termasuk Pas perlu keluar dari gabungan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ 100 peratus daripada PN dan Bersatu.

Sementara itu, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut berharap akan usaha mempertahankan MN di peringkat negeri. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN