Sanusi ucap selamat datang kepada JDT?

Sanusi ucap selamat datang kepada JDT?

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pertembungan Liga Super yang dinantikan peminat bola sepak tempatan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sepatutnya berlangsung pada 19 Jun lalu  diadakan Selasa ini, di Stadium Darul Aman.

Meskipun JDT sudah ditabalkan sebagai juara kali kesembilan berturut-turut dan KDA kini bergelut di tangga keenam liga, perlawanan itu tetap menjadi tumpuan ekoran ‘aksi’ di luar padang antara Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Malah, menjelang pertemuan yang menyaksikan KDA bakal menjadi pasukan tuan rumah itu, Muhammad Sanusi terus menghangatkan suasana apabila memuat naik hantaran terbaharu di Facebook miliknya hari ini yang dipercayai ada kaitan dengan perlawanan itu.

“Assalamualaikum. Selamat pagi semua. Selamat datang ke utara,” demikian tulis Menteri Besar sambil mengepilkan sekeping gambar yang menunjukkan beliau tersenyum simpul sekali gus menjadikannya sohor dan tumpuan warganet.

Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, warganet tetap dapat meneka maksud di sebalik hantaran itu sebagai reaksi pertama Muhammad Sanusi menyambut kedatangan pasukan Harimau Selatan.

Di ruangan komen, Muhammad Sanusi dilihat hanya membalas pertanyaan pengikutnya dengan ucapan ‘Terima kasih kepada semua yang memeriahkan ruangan komen’.

 Semalam, KDA tewas di tangan Petaling Jaya City (PJ City) 0-1 lantas dilihat  memberi bebanan kepada pasukan Sang Kenari itu untuk melayan kunjungan JDT kelak.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi terkenal dengan ucapannya yang menyebut agar pihak tertentu tidak mudah melatah dan harus berhati kental untuk berhujah sesuatu isu terutamanya dalam perkara berkaitan bola sepak tanah air.

Kata beliau juga, sesiapa sahaja kini boleh memberi pendapat atau pandangan terhadap orang lain dan bukan hanya seseorang individu sahaja boleh melakukan apa-apa yang dimahukannya kerana kini sudah melangkah ke tahun 2022 dan bukan lagi tahun 1422.

Malah, beliau menegaskan bukan sengaja menimbulkan ketegangan apabila dilihat sering mengkritik individu tertentu dalam arena bola sepak negara, sebaliknya memaklumkan tidak gentar untuk menyatakan kebenaran termasuk berkaitan kepincangan yang didakwa berlaku.

“Saya bukan saja-saja cari pasai, saya nak habaq (beritahu) seluruh negara kalau badan tertinggi bola sepak takut kepada seorang sahaja, lagu (macam) mana bola sepak ini nak berkembang di tempat lain? 

“Bukan boleh takut dan kalau kita bersuara tentang hak dan kebenaran, bukan kita derhaka. Ini bukan pasal pemerintahan atau politik, ini pasal bola, itulah saya sendiri bercakap tentang bola sepak.

“Ada orang tak faham, cakap Datuk Seri itu saja cari pasai. Saya cari pasai sebab ada pasai. Saya tak takut dengan siapa-siapa pun. Saya takut kat Tuhan saja. Jadi tuan-tuan ada mesej yang saya sedang sampaikan,” katanya ketika berucap dalam satu majlis, Khamis lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN