Sabah, Sarawak perlu letak syarat

Sabah, Sarawak perlu letak syarat sebelum nyatakan sokongan bentuk kerajaan Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pemimpin parti Sabah dan Sarawak harus meletak syarat kepada mana-mana parti yang ingin membentuk kerajaan gabungan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Peranan Sabah dan Sarawak pada pilihan raya kali ini amat penting kerana tiada parti tunggal di Semenanjung Malaysia yang boleh membentuk kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, pemimpin politik Sabah dan Sarawak wajib bertegas dalam meletakkan syarat bagi memastikan kedua-dua negeri ini tidak lagi ketinggalan dari arus pembangunan.

“Kita perlu memberi fokus kepada perkara yang boleh membawa kemajuan kepada Sabah dan Sarawak termasuk janji mengembalikan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti hasil 40 peratus.

“Kita juga boleh meminta parti berasaskan Semenanjung agar jangan lagi terlibat di Sabah,” katanya.

Menurut beliau, pada pilihan raya kali ini, parti politik di Semenanjung hanya boleh memperoleh kira-kira 93 kerusi Parlimen sahaja jadi, jumlah itu tidak memungkinkan mereka membentuk kerajaan.

“Saya melihat parti yang boleh mendapat majoriti antara 80 hingga 93 kerusi hanya Pakatan Harapan (PH) jadi, kalau mereka bergabung dengan Barisan Nasional (BN) akan bermasalah, begitu juga jika bergabung dengan Perikatan Nasional (PN).

“Pilihan yang paling tepat bagi PH adalah bekerjasama dengan parti di Sabah dan Sarawak yang mempunyai 57 kerusi Parlimen termasuk Labuan dan itu sudah boleh membentuk kerajaan.

“PH tidak mempunyai imej yang baik jika bergabung dengan Barisan Nasional, begitu juga sebaliknya,” katanya.

Romzi berkata, dalam lantikan Timbalan Perdana Menteri pula, beliau bersetuju dengan kenyataan Premier Sarawak bahawa pemimpin yang dilantik perlu memegang portfolio lain.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri bukan pemutus kata jadi dengan memegang portfolio lain dan peruntukan yang ada sekurang-kurangnya pembangunan boleh dilakukan di Sabah dan Sarawak.

“Kenapa ada keperluan sekurang-kurangnya dua Timbalan Perdana Menteri kerana salah seorang boleh memberi fokus kepada Sabah dan Sarawak manakala, seorang lagi boleh memberi fokus kepada seluruh negara.

“Kita juga harus meminta agar jawatan Perdana Menteri itu tidak lagi berpaksi di Semenanjung Malaysia kerana tiada dalam Perlembagaan menyatakan hanya orang Semenanjung sahaja boleh menjadi Perdana Menteri.

“Di Sabah dan Sarawak juga ramai pemimpin yang layak diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Kadang-kala kita hanya wilayah yang dianggap membentuk kerajaan bersama kemudian kerana Tanah Melayu merdeka lebih awal berbanding Sabah dan Sarawak yang merdeka kemudian.

“Mereka anggap seolah-olah Sabah dan Sarawak adalah golongan kelas kedua, kita perlu hapuskan tanggapan begitu. Sekarang, seolah-olah kita merayu-rayu tapi tidak juga dapat menuntut hak-hak kita,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya