Rumah pusaka pemandu teksi musnah terbakar

Rumah pusaka pemandu teksi musnah terbakar

NORHASIMAH Mahmud menunjukkan keadaan rumah keluarganya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Purun, Kuala Pilah kira-kira pukul 4.50 pagi tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pemandu teksi warga emas hilang kata-kata apabila rumah pusaka berusia lebih 30 tahun yang didiaminya musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Purun, di sini, kira-kira pukul 4.50 pagi tadi.

Nasir Kamal, 63, berkata, seperti kebiasaan dia akan bangun sekitar pukul 4.30 pagi namun kemudian terhidu bau hangit  dan sebaik membuka pintu bilik, dia melihat kepulan asap datang dari ruang hadapan rumah.

Menurutnya, ketika kejadian hanya dia dan anak bongsunya, Muhammad Nuriman Nasir, 19, ada di rumah kerana isteri, Norhasimah Mahmud, 58, dan ibu mentuanya, Jeerniar Sahari, 77,  ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) malam tadi.

“Memang kejadian berlaku begitu pantas, saya tidak sempat selamatkan apa-apa. Saya segera mengejutkan anak dan dia menghubungi bomba bagi bantuan memandangkan asap sudah terlalu tebal. 

“Rumah ini adalah peninggalan arwah ibu saya, memang dugaan buat kami sekeluarga namun saya reda apatah lagi semua ahli keluarga saya selamat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti serta Kuala Pilah diketuai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pukul 4.50 pagi.

Difahamkan, kebakaran membabitkan rumah berkeluasan anggaran 35×50 kaki persegi yang musnah 100 peratus.

Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan dan meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 05030020160588 di atas nama Norhasimah Mahmud. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN