KOTA KINABALU: Kabinet negeri Sabah melakukan rombakan kecil bagi beberapa jawatan pembantu menteri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan dilantik sebagai Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan.
Maka, jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan negeri yang dipegang oleh Fairuz sebelum ini akan digantikan oleh ADUN Kukusan, Rina Jainal.
Hajiji berkata, pelantikan Fairuz sebagai Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan sudah diperkenankan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
“Majlis angkat sumpah Fairuz akan ditetapkan oleh pihak Istana negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelantikan Fairuz antara rombakan kecil dilakukan oleh kerajaan negeri Sabah.
Hajiji turut mengumumkan pertukaran dua pembantu menteri membabitkan Kementerian Kewangan negeri dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Pertukaran dua pembantu menteri itu dilakukan susulan pengosongan portfolio bagi jawatan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri selepas penyandangnya, Datuk Wetrom Bahanda memutuskan keluar parti dan meninggalkan kerajaan pada 15 Oktober lalu.
Susulan itu, kekosongan jawatan Wetrom akan digantikan oleh Datuk Nizam Abu Bakar Titingan manakala, jawatan Nizam sebagai Pembantu Menteri Kewangan akan diisi oleh Datuk Julita Majungki yang sebelum ini merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.- UTUSAN