KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) perlu bersolidariti dengan rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memperoleh kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada pilihan raya kali ini, mereka tidak mampu lagi untuk berpecah sesama sendiri keran, kerjasama antara Barisan Nasional dan GRS penting untuk memenangi PRU15.
“Untuk menang, kita kena bersolidariti sesama kita dalam UMNO dan di Sabah, kena bersolidariti bersama rakan parti yang kuasai kerajaan negeri pada masa ini.
“Tiada guna kita dapat tanding semua (kerusi) tapi kalah dalam pilihan raya. Kita masuk bertanding dengan satu tujuan iaitu untuk menang setiap kerusi kita tanding.
“Dalam pilihan raya, apa yang penting bukan berapa banyak kerusi kita tanding tapi berapa banyak kerusi kita letakkan itu, menang.
“Kita boleh tanding 25 kerusi di Sabah dan bertembung sesama kita tapi nanti, yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran,” katanya semasa Program Gelombang Biru Zon 3 Sabah di Kimanis hari ini.
Beliau berkata, sekiranya berlaku perpecahan sesama mereka, tidak mungkin Barisan Nasional boleh menang mana-mana kerusi kerana apa yang penting adalah perpaduan.
Menurutnya, semasa beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berbincang dan melihat peranan dimainkan pihak luar, ada yang cuba yang memecahbelahkan mereka berdua.
“Justeru, kami buat keputusan turun ke peringkat akar umbi untuk pastikan mereka lihat hubungan saya dan Presiden sangat akrab dan tidak boleh dipecahkan oleh sesiapa pun.
“Malah, kononnya ada kluster Putrajaya diketuai oleh saya dan kluster PWTC diketuai Presiden tapi, yakinlah tiada kluster Putrajaya, tiada kluster PWTC. Yang ada hanya kluster UMNO dipimpin oleh Presiden,” katanya.
Naib Presiden UMNO itu berkata, bagi membolehkan Barisan Nasional kuat di Putrajaya, mereka perlu menang besar dan menguasai sebahagian kerusi dalam gabungan yang ada.
Katanya, mereka perlu jadi dominan kerana kalau Barisan Nasional sumbang sedikit kerusi sahaja, akhirnya mereka tidak jadi dominan seperti yang berlaku sekarang.
Mengenai cadangan melantik jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata, Barisan Nasional tidak pernah berbohong dari segi manifesto jadi, jika itu manifesto Barisan Nasional maka wajib untuk dilaksanakan.
“Kita akan melaksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto bagi melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN