PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini berada di peringkat akhir penelitian senarai calon yang bakal ditampilkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Naib Presidennya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pengumuman mengenai senarai calon berkenaan hanya akan dibuat selepas ia dirujuk kepada kepemimpinan tertinggi parti.
“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon Bersatu yang membantu untuk melihat senarai nama calon, kita sedang teliti di peringkat akhir dan pilih calon terbaik yang boleh membawa kejayaan kepada PN (Perikatan Nasional).
“Selepas kita selesaikan semua berkaitan kerusi dan calon barulah kita akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pelepasan peserta Petronas Le Tour de Langkawi peringkat Putrajaya-Genting Highlands di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kerusi yang bakal ditandingi, Radzi memaklumkan beliau menerima apa sahaja keputusan yang akan ditentutkan parti kelak.
“Masih menunggu keputusan, apa sahaja yang diumumkan parti saya patuh apa sahaja arahan,” ujarnya. – UTUSAN