PETALING JAYA: Parti politik dari Sabah dan Sarawak akan jadi penentu dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu sekiranya tiada parti dari Semenanjung berjaya memperoleh ma joriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Keadaan itu tidak dapat dielakkan sekiranya tiada satu parti atau pakatan yang dominan dalam perebutan 222 kerusi Parlimen atau memperoleh sekurang-kurangnya 112 kerusi.
Sabah dan Sarawak masing-masing memiliki 25 dan 31 Parlimen dengan jumlah keseluruhan 56 kerusi. Ia secara tidak langsung meletakkan parti seperti Gabungan Parti Sarawak
(GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) mampu mempengaruhi pembentukan kerajaan yang kukuh.
Ia seperti mana yang berlaku dalam PRU14 apabila Warisan yang meraih lapan kerusi Parlimen di Sabah menyokong Pakatan Harapan (PH), sekali gus membantu kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan ketika itu.
Barisan Nasional (BN) yang tewas dalam PRU14 pula kehilangan sokongan 19 ahli Parlimen apabila mereka keluar daripada gabungan politik itu untuk membentuk Gabungan Parti
Sarawak (GPS).
Namun ketika Langkah Sheraton, GPS juga memainkan peranan penting dalam membentuk kerajaan persekutuan baharu apabila memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kemudian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Ini menunjukkan GPS mempunyai hubungan akrab dengan BN dan PN, sekali gus menjadi satu kelebihan besar pada PRU15 kali ini.
Pemerhati politik menjangkakan keputusan PRU15 mungkin tergantung apabila tiada satu parti pun yang berupaya mencapai majoriti mudah atau sekurang-kurangnya 112 kerusi, sekali gus menuntut satu jajaran atau kerjasama politik bagi membentuk kerajaan Pusat.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, tidak mustahil sekiranya Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) tidak cukup 112 kerusi, maka sokongan parti-parti Sabah dan Sarawak diperlukan untuk menjadi kerajaan.
Katanya, langkah itu amat penting untuk menjaga kestabilan politik negara dan mengelakkan Parlimen tergantung dalam tempoh berpanjangan selepas malam keputusan PRU15 pada 19 November ini.
“Kedudukan ini memperlihatkan mana-mana parti Sabah dan Sarawak khususnya memiliki kerusi Parlimen terbanyak menjadi kuasa penentu untuk membentuk kerajaan.
“Dalam mencapai kesepakatan ini, parti-parti Semenanjung Malaysia perlu menjaga hati parti Sabah dan Sarawak dengan tidak meletakkan calon mereka di negeri-negeri bagi mengelakkan lebih banyak pertembungan pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Jeniri menambah, tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada wakil rakyat Sabah atau Sarawak yang dijadikan ‘umpan’ parti tertentu masih belum memadai tanpa memenuhi keperluan rakyat seperti mana Perjanjian Malaysia 1963.
Katanya, rakyat dua negeri berkenaan tidak tertarik dengan jawatan itu sebaliknya mereka mengharapkan limpahan pembangunan yang adil dan saksama.
“Paling penting pembangunan dan kemajuan bukannya jawatan TPM,” ujarnya.
Bagi penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Bilcher Bala, GRS dan GPS hanya menjadi penentu sekiranya mereka memenangi kerusi dengan banyak dan perkara itu mustahil, jika mereka tewas di tangan lawan.
Jelas beliau, ia khususnya membabitkan GRS yang berdepan saingan sengit Warisan sekali gus menunjukkan masing-masing memiliki peluang sama rata.
“Jika gabungan parti ini menang 10 manakala Warisan 15, jadi tidak boleh kata mereka menjadi king maker. Malah melihat kedudukan sekarang, sukar jadi penentu utama pembentukan pusat,” katanya,
Sebaliknya katanya, GPS boleh menang banyak kerana memiliki kekuatan dan lebih cenderung menyokong BN atau PN bukannya PH kerana tidak sebulu dengan DAP sekiranya keputusan Parlimen PRU15 tergantung. – UTUSAN










