BERA: Bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini bakal menyaksikan ramai pihak tampil dengan pelbagai janji, tawaran dan juga manifesto buat rakyat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta rakyat supaya tidak keliru dan terpedaya dengan janji-janji yang dibuat oleh pihak berkenaan.
Ia kata beliau, termasuk janji sedia dipotong gaji dan elaun Perdana Menteri dipercayai merujuk kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim jika gabungan itu menerajui kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ini.
“Kita jangan keliru, selepas ini macam-macam tawaran, janji dan manifesto akan dibuat.
“Sebelum ini pelbagai janji telah dibuat antaranya tentang isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hapus tol dan sekarang janji baru Perdana Menteri tidak perlu ambil gaji.
“Orang kampung bukan hendak tahu ada gaji ataupun tidak, orang kampung hendak tahu apa kerajaan boleh buat. Apa perancangan oleh kerajaan termasuk membabitkan pekebun kecil untuk menjamin hidup mereka terutama soal pendapatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di Padang Awam Kampung Batu Papan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Anwar dilaporkan berkata, beliau sedia untuk dipotong gaji dan elaun sebagai Perdana Menteri sekiranya PH menerajui kerajaan selepas PRU15.
Menurut Pengerusi PH itu, perkara tersebut adalah tindakan pertama yang akan dilakukan jika beliau menjadi Perdana Menteri ke-10.
Presiden PKR itu turut dilaporkan berkata, memberi jaminan, pengurangan gaji itu turut melibatkan ahli Kabinet dalam kalangan menteri.
Anwar berkata, perkara itu perlu dilakukan mengambil kira pemimpin perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan sudah membentangkan pelbagai manfaat untuk rakyat dalam Bajet 2023 dan ia menunggu masa untuk dilaksanakan selepas PRU15.
“Kita sudah bentang dalam Bajet 2023, makna duit sudah ada, cuma ia menunggu masa untuk dilaksanakan apabila bajet ini dibentangkan semula selepas PRU-15 ini,” katanya. – UTUSAN