PRU-15, menang satu kerusi pun beri makna signifikan

PRU-15, menang satu kerusi pun beri makna signifikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kemenangan satu kerusi pun memberi impak yang cukup signifikan kepada parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Maka, penyertaan parti-parti kecil seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) mahupun Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) tidak harus dipandang sepi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, parti-parti kecil itu sudah lama menyatakan hasrat ingin menyertai GRS jadi, kemenangan mereka merupakan kemenangan kepada GRS.

LEE KUOK TIUNG

Sekiranya parti-parti itu bertanding dan mampu meraih kemenangan secara tidak langsung kemenangan itu akan menyumbang kepada bilangan kerusi dimenangi GRS.

“Sudah pasti menarik jika PCS boleh dapat kerusi Kimanis atau Harapan Rakyat dapat kerusi Tawau atau KDM memperoleh kerusi Tenom. 

“Tiada isu sekiranya setiap parti tersebut menang satu atau dua kerusi kerana mereka akan bernaung di bawah panji GRS dan bukannya bergerak secara solo,” katanya.

Namun, harus diingat ketika ini, kerusi-kerusi tersebut sudah ada yang punya dalam rundingan pembahagian kerusi.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS itu berkata, sekiranya parti-parti kecil itu ingin bertanding sekalipun, mereka masih tertakluk kepada rundingan kerusi antara GRS dan Barisan Nasional.

Pada asasnya, semasa parti-parti kecil itu menyatakan hasrat menyertai GRS mereka tidak meletak syarat untuk meminta kerusi untuk ditandingi pada PRU akan datang.

Namun, setakat ini hanya Presiden KDM, Datuk Peter Anthony secara terbuka menyatakan keinginan untuk bertanding kerusi Parlimen Tenom dan Papar manakala, parti-parti lain seperti PCS dan Harapan Rakyat belum menyatakan kerusi yang ingin ditandingi secara terbuka.

Jelas beliau, dalam keghairahan parti-parti politik ingin bertanding pada PRU15, mereka tidak harus tamak hendak bertanding banyak kerusi sekiranya tidak mempunyai kekuatan di kawasan ditandingi.

Harus menjadi pengajaran semasa PBRS bertanding lima kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, mereka kalah di semua kerusi tersebut.

Pada masa ini, GRS yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PBS, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (USNO) mempunyai lapan daripada 25 kerusi Parlimen.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya