Portal KKMNow rujukan utama kesihatan awam negara

Portal KKMNow rujukan utama kesihatan awam negara

covid-19
KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelancaran portal, KKMNow Kementerian Kesihatan dilihat mampu menjadi sumber rujukan utama kepada semua pihak dalam usaha memperkasa sistem kesihatan negara. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah ini selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan dan juga usaha mewujudkan satu platform bersepadu bagi tujuan perkongsian serta rujukan data oleh pengurusan kementerian dan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, portal ini adalah inovasi yang diperkenalkan daripada kejayaan CovidNow yang diperkenalkan semasa pandemik Covid-19.

“Ia akan mempermudahkan agensi kerajaan, kumpulan penyelidik serta pembuat dasar memperoleh data-data berkaitan kesihatan, manakala masyarakat juga akan memperoleh manfaat melalui bekalan data yang lebih berkualiti untuk menyokong aktiviti-aktiviti di peringkat komuniti. 

SWASTA

“Bagi sektor swasta pula, mereka boleh menggunakan data-data ini untuk memacu daya inovasi, menjana nilai ekonomi dan merancang perkhidmatan yang dapat melengkapi perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Pelancaran Portal KKMNow Kementerian Kesihatan di pejabatnya hari ini. 

Khairy berkata, portal ini menjadikan KKM, kementerian pertama yang menyediakan sumber data terbuka kepada orang ramai tanpa menjejaskan kerahsiaan maklumat peribadi pesakit yang kekal terpelihara. 

Katanya, portal KKMNow turut menjamin kelestarian usaha transformasi data KKM dengan memastikan ketelusan data.

“Skop KKMNow yang lebih luas akan merangkumkan paparan data seperti maklumat berkenaan fasiliti-fasiliti kesihatan dan data berkaitan program kesihatan seperti pendermaan darah, pendermaan organ, saringan kesihatan dan PeKa B40 serta data berkaitan penyakit berjangkit.

“Ia juga selari dengan aspirasi Kerajaan, MyDigital, portal KKMNow direka untuk memaparkan data-data kesihatan yang diperoleh bukan sahaja daripada KKM tetapi juga melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi,” katanya. 

Beliau berkata, langkah ini diharapkan dapat meruntuhkan cara kerja silo dalam kalangan agensi kerajaan dan akan memudahkan kumpulan penyelidik serta pembuat dasar memperoleh data-data berkaitan kesihatan.

Katanya, pembangunan portal ini bersama Jabatan Perangkaan Malaysia

(DOSM) mampu mewujudkan kesedaran dan membantu rakyat Malaysia memantau kemudahan kesihatan awam yang tersedia mengikut daerah dan setiap negeri.

“Antara data sumber terbuka yang boleh didapati ialah stok ubat di seluruh negara, data bank darah, penggunaan katil hospital, statistik terkini mengenai penyakit dan masa tindak balas ambulans daripada MERS999,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN