Polis KL gerakkan 7,700 pegawai, anggota hadapi PRU15 - Utusan Malaysia

Polis KL gerakkan 7,700 pegawai, anggota hadapi PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 7,700 pegawai dan anggota Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur akan digerakkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengundi terjamin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua mereka akan ditugaskan untuk membuat kawalan sepenuhnya di 288 pusat mengundi di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kata beliau, arahan pembekuan cuti kesemua mereka setakat ini masih belum dikeluarkan memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum bersidang mendapatkan tarikh mengundi.

“Polis Kuala Lumpur mempunyai kekuatan lebih kurang 8,700. Sebanyak 7,700 pegawai dan anggota akan ditugaskan secara aktif ketika PRU manakala selebihnya akan ditugaskan dalam tugas-tugas am polis termasuk di kaunter dan lokap di setiap balai.

“Kita masih berhubung dengan Bukit Aman untuk membincangkan beberapa isu seandainya memerlukan bantuan sokongan daripada mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Azmi, kekuatan yang sama juga akan digunakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir dalam tempoh berkenaan.

Jelas beliau, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan agensi lain bagi tugasan menyelamat ketika banjir.

“Kebiasaannya, di KL dan Putrajaya banjir kilat yang berlaku. Justeru, tugas kita adalah untuk menentukan agar mangsa banjir tidak terperangkap.

“Kita akan dapatkan bantuan jabatan lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan mangsa banjir diselamatkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azmi mengingatkan agar pengundi atau parti-parti yang bertanding dalam PRU15 mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh SPR dan tidak berlaku rusuhan.

“Jika berlaku sebarang rusuhan atau perlanggaran undang-undang,kita akan ambil tindakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN