Perubahan cuaca, serangan unggas punca hasil padi KADA turun

Perubahan cuaca, serangan unggas punca hasil padi KADA turun

KAMARUDIN Md. Nor (dua dari kiri) ketika menyampaikan wang hasil dan zakat kepada para peserta Ladang Merdeka Ismail Mulong di Majlis Pembahagian Hasil dan Zakat Ladang Merdeka di Pejabat KADA Jajahan Kota Bharu Utara di Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perubahan cuaca dan serangan unggas menjadi punca pengurangan hasil jualan padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) pada musim kedua berbanding musim pertama tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, purata hasil padi pada musim pertama adalah RM4,231 sehektar berbanding RM2,880 sehektar pada musim kedua menunjukkan penurunan lebih kurang 32 peratus.

Katanya, bagaimanapun agensi itu masih boleh mengeluar dan mengagihkan hasil jualan padi kepada peserta-peserta projek Ladang Merdeka Ismail Mulong dan di kawasan-kawasan lain di negeri ini.

“Pada masa ini KADA sedang meneliti kaedah bagi memastikan bekalan air ke sawah mencukupi, tidak terdedah kepada serangan penyakit dan unggas serta input pertanian mencukupi.

“Jika tiada halangan daripada faktor luaran, kita harap kutipan hasil bertambah tetapi berdasarkan keadaan pada tahun ini, mungkin masih berlaku pengurangan dan ia mungkin berlarutan pada tahun depan,” katanya selepas Majlis Pembahagian Hasil dan Zakat Ladang Merdeka di Ibu Pejabat KADA Jajahan Kota Bharu Utara, Nilam Puri, di sini semalam.

Kamarudin memberitahu, sebagai persediaan musim tengkujuh, KADA cuba merancang dan melaksanakan kaedah bagi memastikan musim penuaian pertama dan kedua tidak bertembung dengan banjir.

Katanya, tidak semua perancangan dapat dijalankan dengan sempurna kerana membabitkan kerjasama dalam kalangan petani dan bergantung kepada bekalan air.

“Bekalan air memang satu masalah dihadapi Ladang Merdeka sejak dulu. Kadangkala walaupun bekalan air banyak tetapi ia datang bersama lumpur menyebabkan berlaku kerosakan kepada pam air.

“Di Mulong mungkin masalah bekalan air tidak teruk kerana berhampiran dengan Sungai Kemubu yang merupakan punca air bagi Ladang Merdeka. Di kawasan agak jauh dari sungai berkenaan mungkin penunaian hasil agak lambat daripada jadual,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya