TAMPIN: Suspek utama dalam kes penemuan mayat seorang wanita, Suri Narudin, 53, pasa 18 Disember lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin hari ini bagi didakwa atas pertuduhan membunuh wanita itu.
Tertuduh, Zainizan Zainal, 51, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Suri Narudin, 53, di belakang sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi, dalam daerah Rembau, antara 7 Disember hingga 18 Disember lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Balkhis Zunaidi meminta satu tarikh baharu untuk keputusan bedah siasat dan forensik serta tiada jaminan ditawarkan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 27 Januari depan untuk sebutan semula kes dan menunggu laporan bedah siasat dan forensik.
Sebelum ini, media melaporkan polis menemukan mayat seorang wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah tidak berpenghuni di Rembau pada 18 Disember lalu.
Susulan penemuan mayat tersebut , dua lelaki ditahan di Melaka dan Genting Sempah dalam tempoh 24 jam dengan salah seorang daripada mereka dipercayai suspek utama dan dikenali mangsa.
Kelmarin, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan mayat wanita yang ditemukan di dalam beg ialah milik Suri Narudin. – UTUSAN











