MARRAKESH: Malaysia mencatatkan pengiktirafan berganda dalam Persidangan Agung Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) sempena Forum Keselamatan Sosial Dunia (World Social Security Forum, WSSF) 2022 yang berlangsung di sini apabila Kuala Lumpur diterima sebagai tuan rumah bagi Persidangan ISSA serta WSSF Ke-7 yang akan diadakan pada tahun 2025.
Susulan itu, Perkeso telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ISSA sebagai tuan rumah WSSF 2025 yang dijangka menghimpunkan lebih daripada 2,000 pengamal dan pakar keselamatan sosial daripada 161 buah negara.
WSSF 2022 pada kali ini, yang bertemakan ‘Social security for resilient and inclusive societies’, dianjurkan oleh agensi keselamatan sosial Maghribi, CDG Prévoyance. Perhimpunan Agung ISSA ke-34 dan Persidangan Majlis ISSA ke-39 turut diadakan bersempena dengan WSSF 2022.
Beberapa pegawai kanan daripada Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga telah menyampaikan penemuan hasil penyelidikan dan inovasi di WSSF 2022, menerusi Suruhanjaya Teknikal ISSA yang dipimpin masing-masing, yang memberikan manfaat kepada kumpulan sasar serta pemegang taruh.
Pusat Rehabilitasi Perkeso juga dijemput untuk membuat demonstrasi rehabilitasi robotik yang canggih di persidangan tersebut untuk berkongsi kemajuan dan dinamisme perlindungan keselamatan sosial Malaysia.
Dengan mandat pemilihan sebagai Presiden ISSA untuk tempoh 2023-2025 dan pilihan Malaysia sebagai tuan WSSF 2025, adalah diharapkan agar agenda keselamatan sosial di Malaysia akan terus diperkukuh dan dikembangkan lagi demi kesejahteraan golongan sasar serta peningkatan tahap profesionalisme para pengamal keselamatan sosial di negara ini. – UTUSAN










