Persatuan pesara terima geran peruntukan khas RM100,000

Persatuan pesara terima geran peruntukan khas RM100,000

HAJIJI Noor (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Harun Udin, salah seorang pesara perkhidmatan awam negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian geran peruntukan khas RM100,000 kepada Persatuan Pesara Kerajaan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, geran tersebut akan diberikan setiap tahun bagi membolehkan persatuan itu melaksanakan program dan aktiviti mereka.

Beliau berkata, ia adalah antara empat inisiatif baharu untuk pesara sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan mereka.

Tiga inisiatif lain termasuk tambahan kepada Bantuan Khas Kewangan kepada pesara sebanyak RM150 yang akan dicarumkan dalam akaun i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Inisiatif kedua, kerajaan negeri akan meluluskan peningkatan jumlah maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari bermula tahun depan selaras dengan pengumuman Perdana Menteri sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 baru-baru ini.

“Di samping itu, kerajaan akan menyediakan pejabat untuk pesara di beberapa daerah yang akan dikenal pasti,” katanya dalam Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, hari ini.

Menurut beliau, seramai 1,167 orang pesara daripada pelbagai gred yang telah bersara sepanjang 2019 hingga 2021 menerima penghargaan dalam majlis berkenaan.

Hajiji berkata, bagi menjaga kebajikan pesara, kerajaan telah menambah baik kemudahan rawatan perubatan yang turut diperluaskan kepada ibu bapa pesara berpencen dan pesara skim KWSP.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan juga telah meluluskan peningkatan jumlah maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 150 hari kepada 160 hari, dan kebenaran penebusan awal award GCR sebanyak 80 hari mulai Januari ini.

“Peningkatan jumlah maksimum ini akan memberi manfaat kepada penjawat awam negeri yang bakal bersara.

“Kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai yang akan meningkatkan jumlah wang tunai yang diterima semasa bersara kelak,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan negeri akan merancang lebih banyak inisiatif meningkatkan penglibatan pesara kerajaan yang berkemahiran dan berkepakaran dalam penetapan, pemantauan dan penilaian keberkesanan inisiatif-inisiatif kerajaan negeri.

Justeru, beliau berharap pesara perkhidmatan awam turut membantu untuk menjayakan agenda pembangunan yang sedang dilaksana oleh kerajaan, khususnya dalam berkongsi kemahiran dan kepakaran mereka.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.