Perbidanan selepas bersalin atau confinement lady

Perbidanan selepas bersalin atau confinement lady daripada Suhafiza Johari

bersalin
Suhafiza Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Arau: Setiap ibu yang baharu menjalani proses melahirkan anak pasti mahukan diri serta cahaya matanya berada dalam keadaan selamat, sihat dan stabil terutama dari segi emosi.
Malah, fasa pasca bersalin adalah fasa dimana pengurusan ibu dan bayi perlulah seiring dengan keperluan yang dikehendaki bagi memastikan keadaan ibu dan bayi benar-benar terjaga dan terpelihara.
Maka, disebabkan itu, seorang wanita, Suhafiza Johari, 35 dari Kampung Kok Klang, Arau bertekad untuk menabur khidmat baktinya dalam membantu dan menguruskan wanita selepas bersalin dengan menawarkan khidmat perbidanan wanita selepas bersalin atau lazimnya dipanggil khidmat confinement lady.
Suhafiza atau lebih mesra disapa ‘Kak Su’ berkata, dirinya terdorong untuk menjalankan khidmat perbidanan wanita selepas bersalin ini disebabkan dia melihat pengurusan wanita tidak hanya tertumpu kepada persediaan semasa mengandung sahaja sebaliknya fasa pasca melahirkan anak juga adalah fasa yang penting dalam memastikan ibu dan bayi yang baru lahir itu mendapat penjagaan yang sempurna dari segala aspek.

Saya sudah mengusahakan khidmat confinement lady ini selama lapan tahun dimana skop perkhidmatan confinement lady ini adalah lebih kepada pengurusan ibu dalam tempoh berpantang serta bayi yang baru lahir.
“Khidmat ini banyak memberi manfaat kepada ibu selepas melahirkan anak dan saya sangat suka akan melakukan perkhidmatan ini kerana apabila saya lihat ibu yang sedang berpantang ini berada dalam keadaan sihat, cantik dan ceria bersama bayi mereka maka itulah yang membuatkan saya rasa bahagia tatkala saya menghabiskan khidmat saya bersama dengan mereka,” katanya ketika ditemui di pusat operasinya di Bandar Baharu Putra Heights, di sini baru-baru ini.
Katanya lagi, disebabkan minatnya itu menyebabkan dia kemudian mengembangkan perkhidmatannya dengan menubuhkan syarikat Sri Anggun Confinement Lady yang bernaung di bawah syarikat Herba Anggun kelolaannya sendiri.
“Saya kini mempunyai dua confinement lady yang terlatih untuk melakukan khidmat ini berdasarkan pakej yang dipilih oleh pelanggan namun begitu, saya tidak pernah membeza-bezakan pekerja saya ini sebaliknya saya lebih mengganggap mereka ini sebagai ahli keluarga saya sendiri.
“Dalam masa yang sama juga, perkhidmatan ini sudah membawa saya ke seluruh pelusuk tanah air dimana adakalanya saya menerima tempahan sehingga ke Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang selain Kedah dan Perlis dan yang membanggakan adalah pelanggan saya terdiri wanita daripada pelbagai kaum,” katanya.
Suhafiza berkata, dalam meniti perjalanannya sebagai confinement lady, pelbagai pahit dan manis dilaluinya ketika menjalankan tugasnya ini.
“Secara amnya, pelbagai suka duka terpaksa saya dan pekerja saya tempuhi dalam menjalankan tugas sebagai confinement lady ini sebagai contoh ada pelanggan yang begitu cerewet terutama dalam pemilihan makanan yang akan dimasak untuknya dan ada pula ibu yang tidak mahu langsung memegang anaknya dan mengharapkan hanya kita sahaja yang mengendalikannya.
“Namun, dalam kepahitan ada manisnya juga adalah apabila sesi yang kita jalani bersama ibu berpantang ini berjaya mengubah segalanya ke arah lebih positif seperti ibu yang berpantang ini sudah mulai pandai menguruskan bayinya sendiri, sudah semakin cantik dan sihat malah bayinya pun turut sihat dan ceria,” katanya.
Beliau berkata, antara proses yang dijalankan semasa terapi confinement lady ini termasuklah urutan ibu, urutan lancarkan susu ibu, bertungku, mandian herba, pemakaian bengkung, pemakaian pilis tapel param (di dahi), mandian bayi, urutan bayi dan pengurusan bayi.
“Selain itu pakej yang ditawarkan juga merangkumi proses selama tiga hari hingga 44 hari bergantung kepada permintaan pelanggan dengan tawaran harga pakej yang berpatutan,” katanya.
Suhafiza yang juga anak kedua daripada empat beradik yang berusia antara 26 hingga 37 dan beliau sudah berkahwin pada 2008 bersama seorang penjawat awam sebelum dikurniakan dua orang anak lelaki berusia 13 dan lapan tahun.
“Saya ingin merakam sejuta penghargaan kepada AIM Cawangan Perlis Utara kerana banyak membantu perniagaan saya menerusi khidmat confinement lady,” katanya.
Orang ramai terutama ibu yang baharu lepas melahirkan zuriat dan memerlukan khidmat confinement lady boleh menghubungi Suhafiza di talian 012-4113642 untuk mengetahui dengan lebih lanjut khidmat yang ditawarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya