KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 hari ini mampu memberi impak positif dalam usaha memerangi jenayah ‘scam’ di negara ini.
NSRC menggabungkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan National Anti-Finacial Crime Centre (NFCC) sebagai inisiatif membendung penipuan secara dalam talian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yakin usaha sama antara semua agensi terbabit memberikan kesan positif selain menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan pelbagai peruntukan yang dinikmati secara langsung oleh warga PDRM.
“Ia termasuk peruntukan RM18.3 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi terus memperkukuh ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Kita turut menyambut baik dana RM431 juta untuk pembelian dan penyelenggaran aset-aset PDRM serta RM42 juta untuk baik pulih dan naik taraf kuarters kediaman PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Bajet 2023 turut mengumumkan penambahan 25 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen, Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Serikin, Sarawak dan Lahad Datu, Sabah.
Acryl Sani berkata, PDRM turut menyambut baik diskaun 50 peratus pengangkutan awam Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kepada 21,000 pemegang kad pesara polis dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.
“PDRM akan memastikan peruntukan yang diumumkan kerajaan melalui Bajet 2023 dimanfaaatkan sepenuhnya bagi memperkasa kualiti perkhidmatan kepada keluarga besar Malaysia dalam memelihara ketenteraman dan keamanan negara,” katanya.- UTUSAN