KUANTAN: Bekalan telur ayam yang tidak menentu ketika ini merungsingkan orang ramai khususnya peniaga yang terlibat dengan penjualan kuih-muih dan pastri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga, Kamaruzaman Mohd. Arshad berkata, selepas isu harga ayam selesai, kini hampir dua minggu terpaksa berdepan dengan masalah bekalan telur pula.
“Saya sudah cuba ke beberapa pasar raya untuk membeli bekalan telur ayam dan ternyata memang susah. Kejap ada dan kejap tiada.
“Jika ada pun, terdapat kenaikan pada harga telur tersebut dan kesannya kita susah mendapatkan bekalan.
“Kesukaran mendapatkan telur menyebabkan ada pengguna terpaksa menunggu di pasar raya menanti bekalan sampai dan terus membuat pembelian,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, gangguan bekalan telur yang dihadapi ketika ini berpunca daripada tindakan pengeluar yang mengeksport telur ke luar negara.
Sementara itu, seorang pengguna, Afidah Yaakub berkata, tempoh dua hingga tiga minggu ini cukup sukar mendapatkan bekalan telur sehingga mencetuskan rasa panik bukan sahaja dalam golongan peniaga malah suri rumah sepertinya.
“Saya tidak memiliki keluarga yang besar namun bahan mentah seperti telur ini boleh dianggap penting untuk masakan, jadi bekalannya perlu ada,” katanya.
Seorang lagi pengguna yang bekerja sendiri, Azly Abdul pula berkata, dalam tempoh lebih seminggu mencari bekalan telur, banyak lokasi yang dikunjunginya menyatakan mereka kehabisan stok.
“Banyak tempat bukan sahaja kedai runcit malah pasar raya besar saya mencarinya namun rak kosong. Penat juga mencari memandangkan telur adalah makanan keperluan dan pilihan keluarga. Pusing sana pusing sini mencari dan pembekal kata stok tiada,” katanya. – UTUSAN