Pemimpin keluar parti, usaha Bersatu menggantikan UMNO gagal

Pemimpin keluar parti, usaha Bersatu gantikan UMNO gagal

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Percubaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan kononnya berusaha untuk menggantikan UMNO sebagai parti tunggak orang Melayu gagal apabila seorang demi seorang pemimpin dan ahli meninggalkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, yang terbaharu apabila bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff selaku antara pelopor parti mengambil keputusan meninggalkan parti secara tidak langsung menjadi tamparan hebat kepada Bersatu.

Katanya, Rais Hussin yang pernah menjadi Pengerusi Biro Strategi dan Dasar serta di samping seorang ahli strategi sebenarnya boleh membaca situasi masa depan Bersatu dan jika melihat partinya masih relevan dan mempunyai masa depan, maka perjuangan beliau dalam wadah itu pasti diteruskan.

“Namun pakar strategi tersebut tetap dapat membaca secara tajam, meskipun Bersatu ada jawatan Menteri Kabinet kanan, menteri, timbalan menteri dan pegang jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) malah jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara pun, ia dilihat tiada impak terhadap negara dan parti.

“Sudah pasti situasi ini mudah dibaca oleh ahli strategi Bersatu ini. Manakala ahli Bersatu biasa tidaklah ada kesedaran ini, melainkan terus hanyut dengan mimpi dan kepercayaan bahawa Bersatu boleh memang besar dan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Maka percubaan Bersatu sejak kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan UMNO selepas pilihan raya jelas menemui kegagalan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Pada 7 Oktober lalu, Rais Hussin mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta setelah menghantar surat rasmi peletakan jawatannya kepada pimpinan Bersatu.

Rais Hussin berkata, beliau tidak lagi aktif dalam parti itu sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan Emir Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mendakwa terdapat beberapa ahli dan pemimpin Bersatu telah melompat parti balik ke Bersatu secara terbuka dan senyap-senyap.

“Ada juga yang mengaku telah kembali ke UMNO walaupun tidak pernah diketahui UMNO bahagian. 

“Namun ada juga yang mengaku kembali tetapi sikapnya tidak menunjukkan disiplin dan taat kepada parti. Sikap adu domba masih ada dan jika dibiarkan akan menjadi api dalam sekam,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, berbanding ahli UMNO walaupun pernah tewas PRU14 dan cuba diaibkan dengan pendakwaan terpilih dan diugut dibubarkan namun parti utuh dan tidak pernah goyang.

“Malah sanggup mempertahankan UMNO dengan jiwa raga, walaupun ada yang menjauhi diri daripada parti, ada yang lompat parti dan ada juga menjadi musuh dalam selimut parti,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN