Pembentangan bermula, fokus tiga bidang keutamaan

[BAJET 2023] Pembentangan bermula, fokus tiga bidang keutamaan

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz membawa sampul hitam dengan tenunan perak yang mengandungi teks ucapan Bajet 2023 untuk dibentangkan hari ini- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Pembentangan Bajet 2023 bermula pukul 4 petang ini menjadi tumpuan rakyat kerana adalah yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah, pembangkang mahu menilai sama ada Bajet bertemakan ‘Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’ itu hanya sebagai ‘gula-gula pilihan raya’.

Bajet 2023 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat yang memakai baju Melayu warna biru turquoise digubal berdasarkan tiga bidang keutamaan.

Pertamanya, memperkukuh momentum pemulihan ekonomi dengan memastikan pertumbuhan bukan sahaja dari aspek KDNK tetapi turut merangkumi aspek pekerjaan dan pendapatan untuk rakyat Malaysia dan perniagaan.

Keduanya, memperkukuh daya tahan ekonomi untuk mendepani kejutan pada masa hadapan menerusi pembaharuan ke arah mewujudkan perlindungan sosial yang lebih baik terutama bagi masyarakat yang mudah terjejas, sistem kesihatan awam yang lebih kukuh, kedudukan fiskal yang lebih mampan untuk menyediakan penampan terhadap kejutan masa hadapan serta pemberian subsidi dan bantuan secara lebih bersasar.

Ketiga dan terakhir, melaksanakan pembaharuan yang komprehensif dalam aspek ekonomi perniagaan, sektor keutamaan dan negara untuk muncul lebih berdaya saing di peringkat global di samping memperkukuh agenda pembangunan mapan.

Oleh itu, secara kesimpulannya, Bajet 2023 dirangka bagi mendepani amaran beberapa badan termasuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi global yang dijangka berdepan kemelesetan tahun depan susulan tindakan bank pusat di seluruh dunia secara serentak menaikkan kadar faedah, selain pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan perintah berkurung di China.

Meskipun ekonomi Malaysia bertambah pulih, sebagai ekonomi terbuka juga dijangka terkena tempiasnya yang akan akan menjejaskan pertumbuhan tanah air. 

Kejatuhan nilai ringgit sedikit sebanyak mempengaruhi pertumbuhan ekonomi sekali gus menuntut kerajaan menerusi Bajet 2023 dikemukakan untuk mendokong daya saing dan ekonomi agar terus kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN