KULAI: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kereta Perodua Viva dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 37.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan menghala ke Sedenak, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Muhammad Firdaus, 22, meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Tinggi II Bahtiar Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada pukul 6.23 pagi.
“Kemalangan melibatkan dua kereta jenis Perodua Viva dan sebuah Proton Persona. Salah seorang pemandu Perodua Viva tercampak sejauh dua meter dari keretanya akibat kemalangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.
“Pemandu sebuah lagi Perodua Viva dan pemandu Proton Persona yang cedera dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya. – UTUSAN