Pemandu lori didenda RM8,000 seludup 50 ekor lembu

Pemandu lori didenda RM8,000 seludup 50 ekor lembu

N. MANOGARAN didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Besut hari ini selepas mengaku salah menyeludup 50 ekor lembu menggunakan treler.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang pemandu lori didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah menyeludup 50 ekor lembu menggunakan treler dalam kejadian Ogos lalu.

Tertuduh, N. Manogaran, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuziana Shakila Raja Mamat.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan di Kampung Kuala Besut di sini pada  pukul 12.20 tengah malam pada 6 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa memindahkan 50 ekor lembu menggunakan treler tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar yang diberi kuasa.

Manogaran didakwa melakukan kesalahan mengikut perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu (Tr. P. U. 10) yang mana diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953

Raja Norshuziana Shakila kemudian menetapkan hukuman penjara enam bulan jika Manogaran gagal membayar denda itu manakala hasil jualan ternakan sebanyak RM 63,310 dilucutkan hak.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki berusia 19 tahun didenda RM10,000 selepas mengaku salah memindahkan tiga ekor lembu menggunakan kenderaan pacuan empat roda pada Ogos lalu.

Tertuduh, Tuan Ahmad Azir Tuan Hussain,19, didapati memindahkan tiga ekor lembu menggunakan kenderaan pacuan empat roda pada pukul 10.50 malam di tepi jalan di Kampung Padang Landak, Jertih, di sini pada 15 Ogos lalu tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar yang diberi kuasa.

Dia melakukan kesalahan tersebut mengikut perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu (Tr. P. U. 10) yang diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan denda RM10,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda manakala hasil jualan ternakan sebanyak RM3,880 dilucutkan hak.

Difahamkan, kesalahan dilakukan tertuduh adalah kesalahan berulang buat kali kedua.

Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Mohd. Shahihan Mohd. Tahar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.