WALAUPUN masih baharu ditubuhkan, para pelatih Kronos Tranung Soccer Academy (KTSA) mempamer kebolehan dan prestasi memberangsangkan selepas muncul naib johan Kejohanan Piala Mohd Kaairi bin Alwi di Padang Lagoon, Kuala Terengganu, kelmarin.
Kejohanan itu adalah yang pertama disertai
KTSA bagi kategori bawah usia 11 tahun selepas
mula beroperasi kira-kira enam bulan lalu dengan
berpusat di Padang Awam Wakaf Dua, Bukit Payung, Marang.
Penyertaan dalam kejohanan berkenaan adalah sebagai pendedahan dan memberi pengalaman kepada pelatih untuk bersaing dalam perlawanan kompetitif dalam usaha mengasah dan mencungkil bakat, memberi pendedahan awal serta kemahiran bola sepak dalam kalangan kanak-kanak.
Kejayaan melangkah ke aksi final itu diharap menjadi perangsang kepada semua pelatih dan barisan kejurulatihan KTSA untuk terus berusaha serta tidak pernah jemu mencungkil kanak-kanak seawal usia enam tahun untuk menjadi pemain bola sepak profesional. – UTUSAN