PDRM selesai rakam percakapan Tommy - Utusan Malaysia

PDRM selesai rakam percakapan Tommy

tommy thomas
TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkaitan siasatan bukunya, My Story: Justice in The Wilderness.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut.

“Percakapan beliau (Tommy)  juga telah selesai dijalankan oleh pihak polis.

“Kertas siasatan yang diperkemaskan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 3 Oktober ini untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, ini susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas dakwaan dalam buku tersebut yang ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri serta arahan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar siasatan lanjut segera dilaksanakan.

Semalam, Ismail Sabri mengarahkan siasatan lanjut terhadap kemungkinan salah laku oleh bekas Peguam Negara tersebut selepas pasukan petugas khas membentangkan laporan siasatan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan yang dibuat, pasukan itu mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah; salah guna kuasa dan kecuaian professional dan kenyataan berbaur hasutan.

“Pasukan petugas khas seterusnya mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan supaya siasatan lanjut segera dilaksanakan mengikut Seksyen 124I Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness yang diterbitkan Thomas mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.

Selain itu, buku terbabit turut menyentuh mengenai peristiwa 13 Mei 1969, yang didakwa ditulis dengan tidak bertanggungjawab tanpa mengira sensitiviti masyarakat, selain tuduhan yang bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.