BT perlu telus, elak persepsi negatif, rasuah

PBT perlu telus, elak persepsi negatif, rasuah

MOHAMMAD Salim Sundar Abdullah (kiri) ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Bebas Rasuah, Integriti dan Tadbir Urus Terbaik Pihak Berkuasa Tempatan 2022 serta Pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Majlis Bandaraya Seremban di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu telus dalam melaksanakan tugas dan perkhidmatan kepada masyarakat bagi mengelak persepsi negatif sekali gus menghalang penularan rasuah. 

Lembaga Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Datuk Mohammad Salim Sundar Abdullah berkata, integriti setiap warga PBT perlu dipantau dan dinilai dengan tadbir urus yang baik.

Mohammad Salim berkata, ia bagi mengurangkan risiko rasuah yang jika dibiarkan boleh menjadi barah selain menyebabkan seluruh komuniti terpalit dengan perkara itu.

“Sebab itu pentingnya ada pelan anti rasuah supaya sesebuah organisasi itu dapat menyatakan secara telus jika mereka berhadapan risiko rasuah yang tinggi.

“Pengurusan tertinggi yang mempunyai kuasa perlu bertindak tegas laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun penglibatan dalam rasuah akan menyebabkan tindakan diambil, dibuang kerja dan turun pangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Bebas Rasuah, Integriti dan Tadbir Urus Terbaik Pihak Berkuasa Tempatan 2022 serta Pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. 

Jelas Mohammad Salim, anggota dan pegawai PBT sering berurusan dengan orang awam yang mana setiap tindakan mereka boleh menimbulkan persepsi kepada masyarakat.

“Misalnya billboard (papan iklan) yang banyak di sekitar Nilai, mungkin orang awam beranggapan pihak MBS tidak melakukan kerja walhal sebaliknya (telah turun padang).

“Jadi mungkin boleh ditandakan oleh pihak MBS bahawa billboard itu telah mendapat kelulusan begitu juga kewujudan gerai-gerai di tepi jalan,” katanya.

Mohammad Salim berkata, strategi itu secara tidak langsung memyampaikan kepada masyarakat bahawa pihak MBS memberi perkhidnatan secara percuma tanpa rasuah.

Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali dalam ucapannya berkata, MBS menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di negeri ini yang membangunkan OACP.

“Pembangunan OACP ini sejajar dengan matlamat dan hasrat kerajaan Negeri Sembilan dalam Pelan Anti Rasuah Negeri Sembilan (ANTS) 2020-2024 iaitu mewujudkan ‘Negeri Sembilan Bebas Rasuah’ dan menuju ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

” Malah, ia (OACP) mengandungi pelan tindakan menyeluruh bagi membanteras rasuah, meningkatkan budaya kerja berintegriti dan tadbir urus yang baik di Majlis Bandaraya Seremban,” katanya.

Masri berkata, pelan itu diharapkan dapat memberi manfaat dan faedah kepada warga Bandar Raya Seremban disamping menjadi satu pemangkin serta mekanisme yang jitu dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan MBS terus telus dan berkredibiliti.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN