KUANTAN: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM47 juta sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu tidak termasuk penyediaan bekalan makanan pusat simpanan bekalan makanan di Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) seluruh negeri.
“Susulan daripada perbincang dan cadangan dari pengerusi PKOB di setiap daerah, terdapat sejumlah wang yang diperlukan iaitu RM47 juta.
“Memandangan kita (kerajaan negeri) mempunyai kedudukan kewangan yang baik, kita luluskan kesemua permohonan kepada semua pengerusi PKOB daerah,” katanya selepas majlis Penyampaian Sumbangan Persiapan Banjir Petronas kepada Kerajaan Negeri di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sumbangan dan bantuan daripada pihak Petronas berupa barangan keperluan menghadapi banjir seperti jaket keselamatan dan bot.
Wan Rosdy berkata, bagi menghadapi kemungkinan banjir tahun ini, beberapa pusat pemindahan tetap telah diwujudkan bagi menggantikan pusat pemindahan sementara yang dibuat secara adhoc.
“Pengerusi PKOB memberi cadangan agar pusat pemindahan tetap dibuat pengasingan lelaki dan wanita, ada tandas yang sempurna dan surau.
“Kita sudah buat sebuah di Pekan, Maran dan Lipis. Jadi itulah antara beberapa yang dikemukakan dalam usaha untuk meminimakan masalah banjir di Pahang,” katanya.
Sementara itu, katanya, kerajaan negeri menyambut baik usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, namun diminta berbincang dengan PKOB untuk penyelarasan supaya tidak berlaku kerugian tenaga kerja. – UTUSAN