‘Orang gila’ mahu PRU, DUN Kedah tidak bubar

‘Orang gila’ mahu PRU, DUN Kedah tidak bubar

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini melabelkan pihak tertentu sebagai ‘orang gila’ kerana mahu mengadakan segera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), meskipun terdapat ramalan akan berlaku banjir di beberapa negeri, tidak lama lagi.

Menurutnya tindakan sedemikian hanya menyusahkan banyak pihak termasuk pengundi, jentera parti dan pasukan keselamatan negara.

Sambil menyatakan harapan agar perkara itu tidak akan terjadi, beliau berkata, pihak terlibat seharusnya menanti hingga bencana selesai, sebelum mendesak diadakan PRU agar semua pihak selesa untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Apabila MetMalaysia ramalkan Oktober sampai Mac akan berlaku banjir besar, semua jabatan dan agensi Persekutuan terlibat. Tiba-tiba ada orang gila ajak buat pilihan raya dan ini pun sejenis gila yang kita tak tau nak tauk (buang) di mana.

“Mereka ini gagah nak ajak orang kempen dalam banjir dan katanya kalau berlaku PRU, banjir pun kita redah. Hang ini gila kot? Kalau MetMalaysia kata banjir sampai Mac, buatlah PRU April dan pada masa itu, masing-masing senang nak berkempen. Golongan muslimat contohnya, takkan nak selak kain di tengah-tengah banjir itu untuk pergi ke rumah orang?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera di pekarangan Masjid Nurul Ihsan, Langgar dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu akan turut memberi masalah kepada aspek logistik dan keselamatan terutamanya apabila sekolah-sekolah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sekolah akan jadi PPS dan dalam masa sama di situlah tempat nak mengundi. Jadi di mana nak letak khemah untuk mangsa banjir dan di mana pula nak letak peti undi?

“Polis pula kena jaga keselamatan dan dalam masa sama kena jaga saluran mengundi. Polis kita ada 800,000 orang manakala saluran undi pula 700,000. Jadi bolehkah hanya 100,000 baki polis itu jaga keselamatan negara? katanya.

Justeru katanya, sekiranya rakyat merasakan keadaan itu susah, mereka dinasihatkan agar tidak mengundi orang gila yang dimaksudkan itu.

“Saya katakan, hanya orang gila saja nak ajak rakyat berenang pi (pergi) pusat mengundi,” katanya.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi menegaskan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023 meskipun Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15 lebih awal.

“Perkara ini telah saya sembah maklumkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sewaktu menghadap secara dalam talian, Selasa lalu. Saya maklumkan kepada baginda beberapa negeri termasuk Kedah telah buat keputusan untuk adakan PRU tahun depan.

“Tuanku maklumkan itu kuasa Menteri Besar dan terpulang kepada pertimbangan Menteri Besar. Jadi untuk DUN, tak payah ‘gaduh’ untuk PRU sampai tahun depan tetapi oleh kerana ‘depa’ ni nak bubar Parlimen, anda mungkin kena keluar undi untuk kerusi Parlimen,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN