Israel kehabisan peluru pemintas, pertahanan udara kritikal

Israel kehabisan peluru pemintas, pertahanan udara kritikal

IRON Dome memintas roket yang dilancarkan dari Iran di Baitulmuqaddis pada 13 Jun lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel semakin kekurangan peluru pemintas utama termasuk sistem Arrow, susulan serangan peluru berpandu dan dron dari Iran, menurut laporan The Wall Street Journal yang memetik kenyataan seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS).

Laporan itu menyatakan kebimbangan pihak berkuasa Washington yang kini percaya Israel mungkin terpaksa merasionalkan sistem pertahanan udaranya seawal minggu ini berikutan jumlah serangan yang terlalu tinggi.

“Sistem tersebut sudah pun berada di tahap kritikal,” kata sumber berkenaan.

Walaupun Israel masih dapat memintas sebahagian besar ancaman yang masuk, beberapa peluru berpandu yang menyasarkan kawasan awam dan infrastruktur penting kini dilaporkan sudah melepasi sistem pertahanan negara itu.

Sistem Arrow, yang dibangunkan secara bersama antara Israel dan AS, direka khas untuk memintas peluru berpandu balistik jarak jauh namun sejak negara tersebut melancarkan serangan yang disifatkan tidak berprovokasi pada Jumaat lalu, Iran bertindak balas dengan serangan balas yang disifatkan sebagai paling sengit dalam sejarah.

Lebih 370 peluru berpandu balistik dan ratusan dron dilepaskan oleh Iran ke arah Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Walaupun pihak tentera Israel menyatakan mereka masih bersiap siaga dan mampu menangani sebarang kemungkinan, mereka enggan mengulas lanjut mengenai kekurangan bekalan senjata tersebut.

Penganalisis pertahanan memberi amaran serangan terdahulu lebih banyak tertumpu ke sasaran terpencil seperti Pangkalan Udara Nevatim di Gurun Negev, namun gelombang serangan terkini menyasarkan bandar-bandar utama yang padat dengan penduduk.

Laporan turut menyebut AS kini berdepan tekanan selepas banyak peluru pemintas miliknya yang ditempatkan di rantau Asia Barat dipindahkan ke Israel.

The Wall Street Journal melaporkan wujudnya kebimbangan dalam kalangan pihak pentadbiran di Washington mengenai sistem pertahanan mereka sendiri mungkin terjejas sekiranya konflik ini berpanjangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×