33 tahun usia Asam Pedas Bawah Pokok

33 tahun usia Asam Pedas Bawah Pokok

MOHD. Nazrul Syahmir Abd. Rahman berada di hadapan kedai Asam Pedas Bawah Pokok di Jalan Bendahara, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Di celah bangunan lama di Jalan Bendahara berhampiran Little India di sini, terdapat sebuah kedai papan yang menjual asam pedas sejak 33 tahun lalu.

Kedai Asam Pedas Bawah Pokok menawarkan resipi turun temurun keluarga yang cukup dikenali dalam kalangan pelancong domestik luar Melaka dan penduduk tempatan.

Pemiliknya, Mohd. Nazrul Syahmir Abd. Rahman, 33, berkata, dia mewarisi perniagaan itu daripada bapanya dan lokasi itu agak unik kerana terletak di celah bangunan lama.

Katanya, nama ‘Asam Pedas Bawah Pokok’ diambil sempena dua batang pokok yang ditanam bapanya sejak 33 tahun lalu yang kini sudah membesar.

“Saya mula mengikuti ayah berniaga sejak berusia lapan tahun, ketika itu saya hanya menolong mengangkat pinggan dan mencuci gelas serta cawan.

“Apabila tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tidak menyambung pelajaran sebaliknya membantu ayah hingga kedai ini diserahkan kepada saya untuk diuruskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Nazrul Syahmir berkata, asam pedas masih dimasak oleh ayahnya, Abd. Rahman Bachik yang kini berusia 63 tahun.

Katanya, resipi ayahnya begitu diminati pelanggan tetap serta menjadi tumpuan terutama pada cuti hujung minggu dan kelepasan am.

“Waktu ini tidak menang tangan dengan kehadiran ramai pelanggan hingga kadang-kadang ada yang terpaksa beratur.

Harga yang ditawarkan antara RM13 hingga RM45 untuk kepala ikan jenahak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN