PETALING JAYA: Keadaan politik negara perlu stabil dalam usaha menarik kedatangan pelabur asing dan mengelak kebimbangan mereka untuk menanam pelaburan.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelabur akan tertarik untuk melabur sekiranya keadaan politik stabil dan tidak berlaku pertukaran kepemimpinan dalam masa singkat.
“Pelabur kalau hendak datang melabur, syarat pertama adalah kestabilan politik dan seterusnya kepemimpinan negara. Kalau kepemimpinan negara bertukar, contohnya bertukar dalam masa empat tahun kita ada tiga Perdana Menteri, jadi mereka tidak akan melabur,” katanya pada program khas sempena pembentangan Bajet 2023 yang disiarkan TV3 semalam.
Menurutnya, apa yang dikesalkan ialah apabila ada pelabur dalam negara yang memang sudah beroperasi dan mahu memperkembangkannya tetapi mereka tangguh hasrat itu sebab takut ada perubahan polisi.
“Sebab itu saya hendak sarankan dalam masa akan datang, siapa-siapa sahaja yang mentadbir negara perlu pastikan polisi tidak berubah-ubah sebab kesannya jangka panjang kepada kita,” ujarnya.
Program khas tersebut juga menampilkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai panel.
Mengulas lanjut, Johari berkata, negara akan dilihat kebelakang jika dibandingkan dengan negara-negara di rantau Asia walaupun kesan daripada penularan Covid-19 dirasai bersama di peringkat global.
“Saya mahu kongsi sedikit pada tahun 2020 semasa kita berdepan Covid-19, kalau kita bandingkan dalam rantau Asia semua terjejas dan kita terjejas negatif 5.6 peratus.
“Tetapi kalau kita tengok semua negara di rantau Asia apabila masuk 2021, mereka punya Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sudah pulih daripada negatif tetapi kita tidak. Sebab itu apabila kita negatif, kita perlu tanya kenapa,” katanya.
Johari Abdul berkata, ia terjadi kerana polisi yang dibuat semasa pandemik tidak konsisten berbanding dengan negara rantau Asia lain.
“Kita kejap buka, kejap tutup sedangkan negara lain apabila mereka tutup, tutup betul dan bila buka, mereka buka selamanya.
“Apabila perkara ini berlaku, kesannya adalah apabila kita buka, kita keluar modal dan apabila tutup balik, kita hilang modal,” jelasnya.
Tambahnya, kebanyakan syarikat yang beroperasi di dalam negara 98 peratus adalah daripada bersifat mikro dan hanya dua peratus adalah syarikat besar.
“Tetapi yang memberi sumbangan kepada GDP, syarikat besar hanya sumbangkan 68 peratus tetapi syarikat 98 peratus ni menyumbang 32 peratus,” katanya. – UTUSAN