PENYANYI ini sukar dicari ganti. Carilah siapa sekalipun, tidak akan ada yang sama dengan Noryn Aziz.
Pemilik nama penuh Norazmahwati Abdul Aziz, 46, ini dikategorikan penyanyi yang mempunyai pakej lengkap.
Memiliki kecantikan semula jadi, vokal mantap dan personaliti yang menyenangkan.
Namun, penghibur kelahiran Shah Alam, Selangor ini mengakui, dia tidak miliki apa yang dinamakan populariti.
Kata Noryn, dia tidak pernah mengejar kemasyhuran, malah tidak sedikitpun kecewa jika dianggap kurang popular.
Tegasnya, penglibatannya dalam dunia hiburan adalah kerana minat mendalam terhadap nyanyian.
“Saya tidak kecewa kalau ada yang mengatakan saya tidak popular. Glamor dan kemasyhuran hanya sementara.
“Apa yang membuatkan saya sangat bersyukur adalah peluang yang diberikan Allah untuk berada dalam bidang nyanyian dan terus bertahan sehingga ke hari ini.
“Saya tidak terlalu mendambakan populariti, sebaliknya mahu menjadi penyanyi yang semakin bagus, mengumpul banyak ilmu dan pengalaman dalam bidang ini,” tegasnya.
Noryn bagaimanapun akur, industri hiburan masih memandang dan mementingkan populariti. Namun, katanya, dia tidak terkesan dengan trend itu kerana baginya, minat menyanyi mengatasi segala-galanya.
“Saya sedar, orang akan membanding-bandingkan siapa yang paling popular. Saya faham perkara itu.
“Tetapi, saya hanya mahu bekerja. Kalau tidak menyanyi, saya tidak punya pendapatan sendiri. “Saya bermula pada usia 17 tahun.
“Tiada siapa menyangka perjalanan seni saya akan terbentang sejauh ini. Terima kasih kepada pengalaman dan ilmu,” katanya.
Segera bangkit selepas terduduk
LEBIH dua dekad bergelar penyanyi, Noryn juga tidak terkecuali berdepan pahit manis kehidupan anak seni.
Bagaimanapun, jarang kita membaca cerita sensasi yang memalit penyanyi jelita ini. Hakikatnya, Noryn tabah. Banyak tangis duka dunia hiburan dipendamnya sendiri.
“Saya juga pernah susah, baik dalam kerjaya mahupun hal peribadi. Saya boleh menangis mengenangkannya.
“Mungkin luaran saya nampak ceria. Realitinya, saya manusia yang turut berdepan banyak pengalaman sedih dalam hidup.
“Tetapi, saya segera bangkit selepas terduduk. Saya lebih banyak memendam (kesedihan), berbanding meluahkan,” katanya.
Noryn juga memaklumkan, betapa dia bersyukur memiliki pengurus, Suraya Albukhary yang sentiasa bersama ketika susah dan senang.
“Syukur kepada Allah SWT kerana menghadirkan pengurus yang sudah saya anggap seperti kakak yang sentiasa melindungi dan menjaga saya,” tambahnya.
Jaga anugerah Allah
INDUSTRI hiburan adalah dunia persaingan. Penyanyi baharu datang silih berganti. Penyanyi lama pula perlu bekerja keras untuk kekal bertahan.
Kata Noryn, tentunya dia juga bekerja keras untuk memastikan dirinya masih relevan dalam industri.
Baginya, paling utama sebagai penyanyi adalah menjaga vokal yang menjadi aset penting.
“Setiap individu memiliki kemampuan (vokal) yang tidak boleh dipindah milik. Kita kena jaga anugerah Allah SWT ini dengan sebaiknya.
“Keupayaan seseorang penyanyi itu akan berubah seiring pertambahan usia. Ia ibarat tubuh, perlu dilatih dan dipelihara,” jelasnya.
Kata Noryn lagi, bukan mudah untuk terus berada dalam industri seni yang sentiasa melalui proses evolusi.
Namun, kebijaksanaan seseorang penyanyi yang menentukan selama mana mereka mampu bertahan.
“Saya kena pandai mengurus kerjaya, bekerja keras dan tahu cara untuk bertahan.
“Kenali kemampuan diri dan kalau tidak boleh, elakkan. Nyanyian adalah tentang mencari keselesaan ketika mempersembahkan sebuah lagu,” katanya lagi.
Bebas, tidak dikongkong
“SAYA sangat bahagia”
Itu jawapan penyanyi lagu Ceritera Cinta ini saat diajukan pertanyaan tentang kehidupan di samping suami tercinta, Shaik Rizal Shaik Sulaiman.
Kata Noryn, dia bertuah kerana memiliki suami penyayang yang memahami kerjayanya dan memberi kebebasan untuk terus mengejar cita-cita.
“Suami tidak pernah mengongkong, malah sentiasa menyokong dan memberi kebebasan kepada saya untuk menentukan hala tuju kerjaya.
“Saya amat bertuah dan gembira kerana dia memahami. Alhamdulillah,” luahnya.
Kata Noryn, dia juga bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian dan muzik.
“Saya penyanyi dan ini yang saya mahu lakukan dalam hidup. Saya tidak dapat membayangkan pekerjaan lain yang sesuai, selain nyanyian,” katanya.
Konsert bersama KD
SETELAH lama tidak beraksi pada persembahan besar, Noryn bakal berkongsi pentas dengan diva negara seberang, Kris Dayanti (KD) dalam sebuah konsert yang akan berlangsung di The Mines International Exhibition And Convention Centre (MIECC) pada 29 Oktober ini.
Tentunya perkembangan ini membuat peminat Noryn, yang sekian lama menanti melompat keriangan.
“Konsert ini berbeza kerana saya akan membawakan perjalanan muzik dan pengalaman selama berada dalam bidang ini. KD dengan caranya, saya pula dengan cara saya.
“Ia akan menjadi persembahan yang paling diingati. Saya harap penggemar akan datang beramai-ramai menyokong konsert itu nanti,” katanya.










