Mencontohi sirah Rasulullah - Utusan Malaysia

Mencontohi sirah Rasulullah

Gelagat seorang kanak-kanak yang menghadiri Program Bandaraya Melaka Berselawat sempena sambutan Maulidur Rasul di Dataran Bandaraya MBMB, Ayer Keroh, baru-baru ini. – Mingguan/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keluarga dan negara cemerlang bermula dengan pembangunan modal insan. Pembangunan modal insan amat penting dalam memastikan kemajuan sesebuah negara. Pembangunan modal insan yang berinovatif dan berkemahiran tinggi merupakan faktor kritikal bagi menyokong pertumbuhan sosial, budaya dan ekonomi sesebuah negara.
Sesebuah negara yang cemerlang amat menitik beratkan kepada kualiti modal insannya. Modal insan yang cemerlang dapat dibentuk melalui pelbagai cara antaranya pendidikan, latihan, pembelajaran, pengalaman dan peningkatan kepakaran.
Bagi memastikan modal insan negara berada pada tahap cemerlang, kerajaan seharusnya menyediakan peruntukan khusus bagi melahirkan modal insan berkualiti dan seterusnya meletakkan negara di persada antarabangsa.
Pada era Rasulullah SAW suatu ketika dahulu, kejayaan Baginda Rasulullah SAW membangunkan modal insan pada eranya telah berjaya membangunkan para sahabat dengan keperibadian dan akhlak yang penuh dengan sifat-sifat mahmudah.
Kejayaan membangunkan modal insan yang hebat ini secara tidak langsung berjaya membangunkan sebuah negara serta empayar Islam gemilang hingga menjadi sebuah negara Baldatun Taiyyibatun Warabbun Ghafur.
Namun demikian ketika masyarakat Islam semakin jauh meninggalkan zaman Rasulullah SAW, umat Islam juga semakin jauh daripada ilmu dan sirah tentang kehidupan Rasulullah SAW.
Perkembangan ilmu Barat yang semakin hari menghakis nilai-nilai Islam sehingga tersebar pandangan-pandangan songsang seperti fahaman liberalisma, pluralisma dan fahaman-fahaman lain juga mengakibatkan keperibadian Baginda Rasulullah SAW semakin dilupakan.
Oleh itu, muncul para ilmuwan Islam berusaha memupuk rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW dengan meletakkan tarikh kelahiran baginda sebagai hari sambutan Maulidur Rasul.
Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan yang diadakan sempena hari kelahiran baginda Rasulullah SAW.
Menurut pandangan sebahagian ulama seperti Imam al-Suyuti, menyatakan amalan tersebut adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya.
Asasnya kerana ia bertujuan melahirkan rasa cinta dan kasih sayang kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya”. (Riwayat Muslim).
Hadis ini menunjukkan antara salah satu tanda seseorang itu menyayangi Baginda Rasulullah SAW adalah terdapat dalam dirinya perasaan gembira dengan kelahiran Rasulullah SAW, serta berbangga dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Langkah kerajaan pada hari ini yang memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia dalam membina negara Malaysia dan menghayati nilai murni dengan mendasari kerajaan untuk masyarakat bekerja secara bersama-sama untuk memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik Covid-19.
Walaupun mutakhir ini, pandemik Covid 19 semakin menjauhi kita, namun kita harus sentiasa berwaspada kerana ia masih berleluasa di luar sana. Konsep Keluarga Malaysia umumnya tidak hanya tertumpu kepada membasmi pandemik Covid 19, namun konsep ini boleh diperluaskan peranannya dalam semua aspek sosial, ekonomi dan negara.
Konsep ini juga sangat sinonim dengan konsep kekeluargaan dalam Islam. Bukan setakat ahli keluarga malah setiap komponen dalam rumah tangga sangat penting untuk dititikberatkan termasuklah jiran, sanak saudara serta sahabat handai.
Membina jambatan keserasian antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, ahli keluarga dan persekitaran, semuanya harus tunduk kepada hukum alam tentang hubungan manusia. Ia juga menepati konsep Maqasid Syariah dalam Islam yang lima iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Ia perlu diletakkan sebagai asas penting dalam kerangka panduan yang strategik, agar kemaslahatan fizikal dan spiritual dapat dirasai oleh setiap warganegara
Konsep ini juga sesuai bagi memupuk rasa cinta rakyat Malaysia kepada negara dan melahirkan rasa cinta pada semua masyarakat dan bekerjasama bersama pemimpin dalam membangunkan Malaysia.
Sirah Rasulullah SAW mengajar kita supaya taat pada pemimpin seperti Firman Allah dalam Surah an-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu.”
Selain itu, dalam Hadis Nabi, dari Ibn Umar R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat maka tidak wajib dengar dan taat (pada arahan tersebut).”
Kesimpulannya, melahirkan modal insan baik dalam mencipta pemimpin cemerlang yang berakhlak seperti Baginda Rasulullah SAW amat penting dalam pembinaan sebuah negara. Modal insan baik tidak boleh dilahirkan dengan mudah kerana ia memerlukan kepada pelaburan besar.
Sirah Rasulullah telah membuktikan dengan kejayaan Rasulullah SAW membangunkan para sahabat yang gemilang. Oleh itu sebagai umat Islam, kita mesti menanamkan rasa cinta dan kasih sayang kepada Baginda Rasulullah SAW sekali pun kita tidak pernah menatap wajah dan melihat fizikal Baginda. Salah satu cara kita membuktikannya adalah dengan cara menyambut sambutan Maulidur Rasul.

Datuk Hakimah Mohd. Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.