Marshall Racer mahu sebar aura positif - Utusan Malaysia

Marshall Racer mahu sebar aura positif

NUR Shafarina Mhd. Hidzir (tengah, berbaju kuning) bersama peserta konvoi One Culture di Padang Kota Lama, George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dalam usaha negara untuk pulih daripada pandemik Covid-19, sebahagian besar sektor ekonomi mahupun kegiatan sosial tidak melepaskan peluang untuk bangkit dalam usaha merancakkan kembali sektor masing-masing.

Bagi peminat aktiviti permotoran seperti berkonvoi, situasi tersebut adalah peluang yang dinanti-nantikan kerana sudah lama tidak melakukan aktiviti ‘memanaskan enjin’ bagi tujuan mengembara bersama ahli kumpulan yang lain.

Setiausaha Kelab Marshall Racer, Nur Shafarina Mhd. Hidzir, 43, berkata, penganjuran aktiviti berkonvoi One Culture adalah julung kali diadakan di bawah kelab tersebut setelah kerajaan memberi kebenaran melakukan aktiviti permotoran pada April lalu.

“Penganjuran aktiviti konvoi One Culture adalah yang pertama kali dianjurkan bagi menghimpunkan peminat motosikal klasik di wilayah utara seperti Pulau Pinang, Perak dan Kedah di samping mengeratkan ukhuwah sesama ahli tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, aktiviti itu diharap dapat mengajak masyarakat untuk sama-sama merasai keterujaan mengembara bersama komuniti motosikal klasik yang disifatkan lebih santai.

“Kelab Marshall Racer baharu sahaja ditubuhkan dua bulan lalu dan berdaftar di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang yang lebih menekankan aspek gaya hidup sihat dan positif dalam kalangan ahli kelabnya.

“Menerusi aktiviti konvoi ini juga, kami ingin menggalakkan golongan wanita menjadi sebahagian daripada keluarga pencinta motosikal klasik ini kerana merasakan wanita juga mempunyai minatnya yang tersendiri,” katanya yang memiliki sebuah motosikal Royal Enfield Continental GT650 yang dibelinya pada April lalu.

Menurutnya, seramai 80 penunggang dari Kedah dan Perak termasuk Pulau Pinang akan memulakan aktiviti konvoi sekitar negeri ini yang bermula di perkarangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Padang Kota, di sini.

“Kita akan mulakan konvoi di Padang Kota seterusnya akan ke bahagian daerah Barat Daya seperti Anjung Indah dekat Balik Pulau, kemudian ke BoraBora di Tanjung Bungah dan ke Restoran Motowarung dekat Bandar Perda (bahagian Seberang Perai) iaitu lokasi terakhir konvoi ini.

“Perjalanan konvoi yang kita lakukan adalah dalam masa sehari sahaja iaitu bermula jam 3 petang kira-kira sejauh 93 kilometer yang melibatkan penunggang motosikal klasik seperti vespa, ‘chopper’, ‘bobber’, Harley Davidson termasuk motosikal ‘cafe racer’ atau motosikal ‘custom’ klasik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN