Maqis Pulau Pinang rampas 28 tan daging kerbau dari India

Maqis Pulau Pinang rampas 28 tan daging kerbau dari India

DAGING kerbau sejuk beku dari India yang dirampas Maqis Pulau Pinang di NBCT, Butterworth, semalam berikutan mempunyai maklumat sijil halal dan kesihatan yang mengelirukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas sebanyak 28 tan metrik daging kerbau sejuk beku dari India bernilai RM270,000 di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini semalam.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa jabatan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati bahan dagangan yang diisi di dalam 1,167 kotak itu menggunakan maklumat yang mengelirukan.

“Maklumat pada sijil kesihatan dan sijil halal yang dikeluarkan dari negara pengeksport adalah tidak tepat dan berbeza. Justeru, barangan dagangan terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ujar beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana memberikan maklumat mengelirukan dalam pengimportan di bawah akta terbabit.

Sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Tegas beliau, anggota penguat kuasa Maqis akan terus melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan produk yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

“Tindakan itu bagi memastikan keluaran pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya