PUTRAJAYA: Sejumlah 21,173,638 pengundi bakal menentukan kerajaan baharu pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengisi 222 kerusi Parlimen yang ditetapkan 19 November ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengisytiharkan tarikh penamaan calon adalah pada 5 November (Sabtu) manakala hari mengundi awal pada 15 November.
Ia turut meliputi pelaksanaan pilihan raya serentak di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pahang (42 kerusi), Perlis (15 kerusi) dan Perak (59 kerusi) selepas ketiga-tiga negeri itu membubarkan DUN termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi N.66 Bugaya, Sabah dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.01 bilion.
Jumlah itu menyaksikan pertambahan 6,233,014 pengundi baharu berbanding PRU14 lalu (14,940,624 pengundi berdaftar) selepas kerajaan melaksanakan pindaan usia kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.
Ia mula dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun lalu melalui pewartaan penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.
PRU15 menyaksikan sejumlah 1,393,549 pengundi muda berusia 18 tahun hingga 20 tahun yang kali pertama diberi mandat memilih wakil rakyat mereka bagi menerajui 222 kerusi Dewan Rakyat.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan itu adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober lalu iaitu terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan.
Jumlah berkenaan turut merangkumi 118,794 polis serta pasangan termasuk anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 5 November 2022 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam pada 18 November, manakala hari mengundi awal pada 15 November 2022.
SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung pengisytiharan pembubaran Parlimen penggal ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Oktober lalu, manakala pemakluman berhubung pembubaran DUN Pahang dan Perlis pada 14 Oktober serta Perak bertarikh 17 Oktober lalu daripada Speaker DUN masing-masing.
Pemakluman rasmi juga diterima daripada Speaker DUN Sabah setelah Proklamasi Darurat (No.3), dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) dibatalkan pada 12 Oktober lalu.
“SPR melantik 222 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 1,264 Penolong Pegawai Pengurus.
“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR menubuhkan 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya di sini semalam.
Menurut Abdul Ghani, seramai 363,515 petugas dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya ini, manakala sebanyak 9,536 jumlah pusat mengundi meliputi 8,958 pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi/saluran dan 578 pusat mengundi awal.
Sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 222 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) digunakan.
Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum Hari Penamaan Calon.

Abdul Ghani berkata, SPR meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi live streaming bagi Pusat/Saluran Mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR sebagaimana dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini.
Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan boleh dibuat mulai 31 Oktober 2022 (Isnin).
SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mana-mana badan yang berminat menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRU15 bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan
Permohonan dibuka pada 11 Oktober hingga 21 Oktober ini yang mana mereka dibenarkan membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR. – UTUSAN









