Mahkamah berat sebelah, buat pertimbangan salah - Rosmah

Mahkamah berat sebelah, buat pertimbangan salah – Rosmah

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menyatakan, Mahkamah Tinggi berat sebelah dan membuat pertimbangan yang salah ketika mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda berjumlah RM970 juta terhadapnya atas tiga pertuduhan rasuah.

Isteri bekas Perdana Menteri menyatakan, keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendapatinya bersalah, dibuat berpandukan kepada kesimpulan yang tidak tepat dan bercanggah dengan keterangan-keterangan nyata.

Ujar beliau, hakim bicara tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang kerana gagal menilai keterangan saksi-saksi pendakwaan yang disifatkan beliau sebagai tidak kredibel.

Menurut Rosmah, 70, hakim berkenaan terkhilaf kerana menerima keterangan tiga saksi pendakwaan walaupun beliau menafikan tuduhan kononnya meminta bantuan mereka melicinkan pemberian kontrak kepada Jepak Holdings serta mempercepatkan pembayaran kontrak.

Ujar beliau, dua daripada saksi itu, Saidi Abang Samsudin (SP17) dan Rayyan Radzwill Abdullah (SP16) mencadangkan untuk memberi sumbangan politik kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, diakui oleh Datuk Rizal Mansor (SP21).

Sumbangan politik itu bertujuan untuk kestabilan dan kepentingan Barisan Nasional (BN) dan UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum, bukan untuk Najib secara peribadi. 

Ujar Rosmah selaku perayu, tuduhan itu tidak munasabah kerana jika benar beliau ingin mendapatkan kepentingan serta bantuan dalam projek solar hibrid, beliau tidak perlu bersusah payah meminta bantuan mereka kerana boleh meminta terus bantuan suaminya.

“Datuk Seri Najib yang ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan lebih berkuasa meluluskan dan mempercepat bayaran atau apa sahaja mengenai projek solar hibrid.

“Namun hakikatnya, perayu sama sekali tidak berbuat demikian kerana prinsipnya untuk tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran mahupun perolehan kerajaan,” ujar Rosmah dalam petisyen rayuan yang difailkan semalam.

Isteri bekas Perdana Menteri menggariskan 127 alasan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda berjumlah RM970 juta atau penjara 30 tahun lagi jika gagal membayar denda bagi ketiga-tiga pertuduhan rasuah.

Beliau memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 1 September lalu dan rayuan untuk menggugurkan hakim berkenaan daripada keseluruhan prosiding perbicaraan.

Dalam petisyen rayuannya, Rosmah menyatakan semua proses rundingan, perjumpaan dan penyediaan surat cadangan berkaitan projek solar dilakukan oleh SP17 dan SP16 dengan penglibatan SP21 sebagai `dalang’ (mastermind) yang mana pada awalnya turut didakwa bersama-sama perayu.

Rosmah turut menggariskan beberapa nama individu termasuk Tan Sri Madinah Mohamad (SP6), Datuk Seri Alias Ahmad (SP12 dan Datuk Aazmey Talib terlibat dalam perbuatan korup secara terang-terangan dalam pemerolehan kontrak projek solar hibrid walaupun wujud laporan polis.

“Pihak pendakwaan melaksanakan pendakwaan terpilih dengan menuduhnya walhal beliau tidak pernah terlibat atau tahu menahu atau masuk campur urusan mendapatkan projek,” ujar Rosmah.

Menurut petisyen itu, Rosmah tidak mengetahui Saidi ada membawa dua beg galas berwarna hitam berjalur jingga yang kononnya mengandungi wang RM1.5 juta untuk diberikan kepada beliau, apatah lain melihat kandungan beg itu.

Ujar Rosmah, Rayyan Radzwill juga tidak melihat penghantaran, pergerakan dan penyerahan wang daripada Saidi di kediaman beliau manakala beg berkenaan tidak dibuka atau wang berkenaan dikira di hadapannya.

Menurut isteri bekas Perdana Menteri, hakim bicara tersalah arah kerana tidak menimbangkan fakta bahawa saksi-saksi penting pendakwaan tidak dapat mengesahkan sama ada Rizal telah menyerahkan RM5 juta kepada beliau.

Ujarnya, hakim berkenaan terkhilaf kerana gagal membuat rumusan walhal wujud keterangan jelas bahawa Rizal merupakan saksi yang korup selepas mengakui menerima pelbagai wang sumbangan untuk diri sendiri dan keluarga.

Ujarnya, hakim bicara turut tersalah arah dengan tidak menimbangkan fakta bahawa Unit Tindakan Khas (UTK) tidak dipanggil memberi keterangan untuk membuktikan dakwaan penghantaran wang RM5 juta dari Maybank ke Pavilion dan selepas itu ke Seri Perdana.

Bagi kesalahan pertama, Rosmah dikenakan denda RM937.5 juta, kesalahan kedua RM7.5 juta manakala kesalahan ketiga RM25 juta.

Bagi setiap kesalahan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan memerintahkan ia dijalankan serentak.

Rosmah disabitkan atas satu tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta iaitu RM1.5 juta dan RM5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya