KOTA BHARU: Lapan remaja yang direman seminggu sejak 18 Oktober lalu berkait kes rogol bakal berdepan 18 pertuduhan di mahkamah, Selasa ini.
Ada dalam kalangan remaja berkenaan berdepan antara dua hingga tiga pertuduhan secara berasingan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tujuh remaja berkenaan yang masih berada dalam kategori kanak-kanak dituduh di Mahkamah Majistret Kota Bharu.
“Seorang lagi tertuduh yang berusia 18 tahun semasa kejadian dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia 18 Oktober lalu melaporkan, lapan remaja direman seminggu di Mahkamah Majistret Bachok, bagi membantu siasatan berkait kes rogol membabitkan gadis bawah umur di Tawang, di sini baru-baru ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohd. Ismail Jamaluddin ketika hubungi berkata, penahanan kesemua suspek dibuat selepas laporan berkait kes rogol membabitkan mangsa berusia 14 tahun yang diterima pada Ahad lalu. – UTUSAN